
HULU TERENGGANU - Seorang wanita berusia 63 tahun maut lemas selepas bot dinaikinya terbalik akibat terlanggar tunggul pokok berhampiran Gua Bewah, Tasik Kenyir, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa Wan Esah Wan Daud dari Felda Chiku, Kelantan, sedang bercuti bersama keluarga dan menaiki sebuah bot rumah bersama 27 ahli keluarga.
“Pada 11 pagi semalam, mangsa menaiki bot rumah dari Tasik Kenyir menuju ke Taman Negara.
“Apabila tiba di lokasi kira-kira 4 petang, mangsa bersama tiga ahli keluarga turun dari bot rumah yang ditambat di Gua Bewah untuk bersiar-siar menggunakan bot sebelum bot berkenaan terlanggar tunggul pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam air dan terperangkap di bawah bot.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh ahli keluarga lain dan dibawa kembali ke bot rumah.
“Anak mangsa cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya.
Sharudin berkata, mangsa kemudian dibawa menaiki bot Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selama kira-kira sejam sebelum tiba di tanah besar di Tasik Kenyir.
“Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit paru-paru disahkan meninggal dunia akibat lemas dan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.
Dalam pada itu, Sharudin menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi, khususnya di kawasan tasik dan sungai. - Getaran, 30 Ogos 2026






