
SHAH ALAM – Polis masih menyiasat pelbagai aspek termasuk kemungkinan tekanan yang dialami seorang guru wanita di sebuah sekolah di Hulu Selangor yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kematiannya awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, meskipun siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan masih terbuka dalam mengenal pasti punca kejadian selagi kertas siasatan belum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Walaupun kes SDR, SDR itu sendiri adalah salah satu bentuk siasatan kerana ia tidak melibatkan rumusan sebagai satu kesalahan jenayah
“Sudah tentu, sebab pelbagai aspek. Kita tak pernah menjurus kepada sesuatu selagi siasatan belum selesai. Kita buka kepada segala aspek penyiasatan.
“Jadi, sekiranya tekanan itu merupakan salah satu yang perlu dilihat, sudah tentu kita akan ke arah tersebut juga. Selagi siasatan belum selesai dan dirujuk kepada TPR berserta cadangan, semua aspek siasatan masih terbuka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, rakaman percakapan telah diambil melibatkan pelbagai aspek individu termasuk rakan sekerja mangsa.
Tambahnya, polis juga akan memanggil beberapa individu lain bagi mendapat pengesahan berhubung punca kejadian itu.
“Saya rasa tak perlu saya kongsikan jumlah berapa saksi yang telah dipanggil. Cuma kalau saya katakan memang rakaman sedang diambil, dan akan diambil lagi. Itu siasatan,” jelasnya.
Kosmo! pada 1 Ogos lalu melaporkan seorang guru wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di daerah ini semalam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu. – KOSMO! ONLINE
The post Tekanan antara aspek disiasat kes guru maut di Hulu Selangor appeared first on Kosmo Digital.






