Bot nelayan disyaki tangkap hasil laut secara haram ditahan

LocalEnvironment
11 Jul 2026 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bot nelayan disyaki tangkap hasil laut secara haram ditahan
Bot berkenaan dipintas selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa.
Image from: Bot nelayan disyaki tangkap hasil laut secara haram ditahan
Antara individu ditahan dalam operasi yang dijalankan.

PELABUHAN KLANG - Sebuah bot nelayan dipercayai menjalankan aktiviti menangkap hasil laut secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Kapar, pada Jumaat.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu turut menahan dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai tekong dan kru bot berkenaan.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot fiber itu ditahan oleh kapal ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan rutin di bawah operasi penguatkuasaan di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Sungai Sementa Besar, Kapar.

Menurutnya, bot berkenaan dipintas selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong berusia 32 tahun dan seorang kru berusia 23 tahun yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua individu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong turut gagal mengemukakan lesen atau permit menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

**media[3578599]**

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama bot fiber dan hasil tangkapan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap hasil laut tanpa lesen atau kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram yang mengancam kelestarian sumber marin serta menjejaskan kedaulatan perairan negara.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Selangor bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved