Bot nelayan tempatan ditahan menunda di kawasan larangan Pulau Tinggi

25 Sep 2026 • 7:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bot nelayan tempatan ditahan menunda di kawasan larangan Pulau Tinggi

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing menahan sebuah kapal nelayan tempatan selepas disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan secara menunda di kawasan larangan berhampiran Pulau Tinggi, di sini semalam.

Pengarah Maritim Zon Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 11 pagi pada kedudukan 6.8 batu nautika timur laut pulau tersebut ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op Jaksa, Op Tiris 4.0 dan Op Mardof.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan secara menunda pada jarak kurang 12 batu nautika dari pulau, sekali gus melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut dikendalikan lima kru terdiri daripada seorang warga tempatan dan empat warga Indonesia berusia antara 30 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Suhaizan, bot bersama kesemua kru dan peralatan menangkap ikan telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pangkalan Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen yang dikeluarkan iaitu menunda di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti perikanan mematuhi undang-undang, sekali gus memelihara kelestarian sumber laut serta kepentingan nelayan tempatan,” katanya.-UTUSAN

The post Bot nelayan tempatan ditahan menunda di kawasan larangan Pulau Tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved