Bot karam: Dua pemancing mungkin dihanyutkan sampai Lumut

17 Sep 2026 • 10:01 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bot karam: Dua pemancing mungkin dihanyutkan sampai Lumut

KLANG – Dua pemancing yang masih hilang selepas bot dinaiki karam dilambung ombak setinggi empat meter berhampiran Pulau Ketam di sini Ahad lalu dipercayai dihanyutkan sehingga ke perairan Lumut, Perak.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Leftenan (M) Mohd. Syafiq Sazali berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan keadaan semasa operasi pencarian dan penemuan mayat Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43, di perairan Hutan Melintang.

Katanya, jarak mayat lelaki itu ditemukan dan lokasi hilang di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam adalah sejauh 103.71 kilometer (km).

“Kita menjangkakan radius dua pemancing hilang itu sehingga Lumut, Perak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan perkembangan itu, pencarian dari udara diperluaskan dari perairan Bagan Nakhoda Omar sehingga ke Lumut, Perak.

Bagi pencarian di laut, ia melibatkan dua buah kapal APMM dan sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dari One Fathom Bank sehingga Tanjong Karang.

“Pencarian turut dibantu pasukan Bantuan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia bagi mengesan mangsa di perairan dalam sempadan negara jiran,” katanya.

Dua lagi mangsa yang belum dijumpai ialah Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37 dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49.

Mengulas lanjut, katanya, setakat ini operasi pencarian belum menggunakan dron, manakala keadaan jerebu dan laut bergelora menjadi antara cabaran utama pasukan penyelamat.

Kosmo! semalam melaporkan mayat seorang lelaki yang ditemui diikat pada tong serta memakai jaket keselamatan di perairan Hutan Melintang, Perak disahkan sebagai Mohd. Shahril.

Mangsa dikenal pasti berdasarkan pakaian iaitu baju-T lengan panjang berwarna gelap serta bentuk telinga. – KOSMO! ONLINE

The post Bot karam: Dua pemancing mungkin dihanyutkan sampai Lumut appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved