Brek gagal punca lori sampah ‘hempap’ 3 kenderaan

12 Aug 2026 • 6:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Brek gagal punca lori sampah ‘hempap’ 3 kenderaan

KUALA LUMPUR – Kegagalan sistem brek dipercayai menjadi punca sebuah lori sampah terbabas sebelum menghempap tiga buah kenderaan yang diparkir di kawasan kondominium Pantai Hillpark, di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian di Jalan Pantai Murni 1 itu dipercayai berlaku sekitar pukul 4.10 pagi.

“Polis telah menjalankan usaha mengesan pemandu lori berkenaan yang tidak berada di lokasi kemalangan sebaik menerima maklumat.

“Hasil tindakan pantas, pemandu lelaki berusia 41 tahun itu berjaya dikesan ketika sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), HUKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan sedang bergerak di jalan lurus menuruni bukit sebelum dipercayai mengalami kegagalan sistem brek.

Katanya, pemandu kemudian hilang kawalan lalu melanggar tembok pagar kondominium sebelum bahagian hadapan lori terjatuh dan menghempap tiga buah kereta kosong tanpa pemandu yang diparkir di kawasan Kondominium Pantai Hillpark.

“Pemandu mengalami kecederaan pada kaki kiri dan telah hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pukul 3.15 petang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Ujian hembusan nafas yang dijalankan terhadap pemandu mendapati keputusan negatif alkohol. Lori tersebut akan dihantar ke Puspakom untuk menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” ujarnya.

Mohd. Zamzuri menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

The post Brek gagal punca lori sampah ‘hempap’ 3 kenderaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved