
KUALA LUMPUR – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian penunggang motosikal dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Travers, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, lelaki berusia 21 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga prosiding selesai.
Katanya, nahas pukul 10.22 pagi, Jumaat lalu melibatkan motosikal Yamaha Y16ZR, kereta Perodua Axia dan trak pikap Toyota Hilux. Kejadian berlaku di Jalan Travers menghala ke Muzium Negara berhampiran simpang tiga menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
“Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y16ZR yang ditunggang lelaki tempatan berusia 37 tahun bergerak di lorong paling kiri.
“Kereta Perodua Axia dipandu wanita tempatan berusia 21 tahun dipercayai mengubah laluan dari lorong ketiga ke lorong paling kiri untuk memasuki Jalan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Perodua Axia itu kemudian dipercayai melanggar motosikal tersebut sebelum terbabas dan merempuh Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun yang sedang menunggu untuk keluar simpang.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur. Dua lagi pemandu kenderaan tidak cedera,” katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati nahas dipercayai berpunca akibat tindakan pemandu Perodua Axia yang mengubah haluan secara berbahaya sehingga melanggar motosikal.
“Pemandu Perodua Axia ditangkap bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu Axia didakwa sebabkan kematian penunggang motosikal appeared first on Kosmo Digital.






