“Brek, tayar semua OK” – Laporan Awal Puspakom Nafikan Masalah Mekanikal Jadi Punca Nahas Bas UPSI

LocalPolitics
14 Jun 2025 • 6:06 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Laporan awal kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak baru-baru ini mendapati tiada bukti menunjukkan sistem brek atau tayar menjadi punca utama nahas.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pemeriksaan teknikal oleh Puspakom mendapati sistem mekanikal bas tersebut berada dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian keselamatan.

“Semua brek lining dan brek dram berada dalam keadaan memuaskan. Tayar juga memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ, termasuk ketebalan bunga,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini, lapor Sinar Harian.

Tambah beliau, setakat ini tiada petunjuk bahawa kegagalan mekanikal menjadi punca utama tragedi.

Sebaliknya, faktor manusia atau keadaan jalan dilihat lebih berkemungkinan menyebabkan kejadian tersebut.

Turut diperiksa ialah komponen stereng dan suspensi bas, yang juga disahkan dalam keadaan baik.

“Kita akan tunggu laporan akhir siasatan. Sekiranya ada penambahbaikan diperlukan, kita akan laksanakan demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” jelasnya.

image is not available
Keadaan bas yang terbalik di KM53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli pada pagi Isnin lalu.

Anthony turut menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan terhadap syarikat pengangkutan serta kelayakan pemandu akan terus diperkemas oleh pihak kementerian.

Isnin lalu, sebuah bas yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim hilang kawalan dan terbalik selepas melanggar sebuah Perodua Alza di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (Gerik-Jeli).

Kemalangan itu telah menyebabkan 15 pelajar terkorban, manakala 33 lagi cedera dan sedang dirawat di beberapa hospital di Perak dan Kedah.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.