Britain, Perancis, Kanada sekat import dari penempatan haram Israel

WorldPolitics
9 Sep 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Britain, Perancis, Kanada sekat import dari penempatan haram Israel

LONDON: Britain, Perancis dan Kanada mengumumkan akan mengharamkan import dari penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Langkah berkenaan mencetuskan kemarahan Israel yang segera mengumumkan tindakan balas terhadap Britain.

Ketiga-tiga sekutu Barat itu mengumumkan sekatan perdagangan sebagai tindak balas terhadap dasar Israel mengenai penempatan di Tebing Barat serta laporan mengenai peningkatan serangan oleh peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah berkenaan.

“Kerajaan Britain bersetuju berlaku pembersihan etnik rakyat Palestin di beberapa kawasan di Tebing Barat yang dilakukan oleh pengganas dalam kalangan peneroka.

“Terlalu kerap kerajaan Israel menutup mata terhadap perkara ini dan lebih buruk lagi, beberapa anggotanya membuat kenyataan serta mengambil tindakan bagi menyokong pemindahan paksa rakyat Palestin,” kata Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband kepada Parlimen.

London, Paris dan Ottawa menyertai sembilan negara Eropah lain dalam satu kenyataan bersama yang menyatakan rancangan untuk memperkenalkan atau menyokong sekatan perdagangan dengan penempatan Israel.

Kenyataan bersama menteri luar pada Selasa itu turut ditandatangani Denmark, Finland, Iceland, Ireland, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol dan Sweden.

Perdana Menteri Britain, Andy Burnham; Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dalam satu lagi deklarasi bersama memberi amaran penempatan Israel menimbulkan ancaman langsung dan mendesak terhadap usaha mencapai penyelesaian dua negara bagi konflik berkenaan.

Sebelum itu, Israel mengumumkan tindak balasnya dengan penuh kemarahan, termasuk mengarahkan penutupan konsulat Britain di Baitulmuqaddis dan melarang 12 rakyat Britain memasuki negara itu, termasuk anggota Parlimen daripada Parti Buruh yang memerintah.

Israel turut berkata, pihaknya akan mengusir diplomat Britain yang ditempatkan di sebuah pusat yang memantau rancangan gencatan senjata di Gaza yang ditaja Amerika Syarikat (AS), selain menghalang latihan Britain untuk pasukan Pihak Berkuasa Palestin.-AFP

The post Britain, Perancis, Kanada sekat import dari penempatan haram Israel appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved