Israel ‘balas’ tindakan Britain, arah tutup konsulat di Baitulmuqaddis

WorldPolitics
9 Sep 2026 • 4:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Israel ‘balas’ tindakan Britain, arah tutup konsulat di Baitulmuqaddis

TEL AVIV: Israel mengarahkan Konsulat Britain di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki supaya ditutup dalam tempoh 30 hari, lapor penyiar awam Israel, KAN, pada Rabu.

Arahan itu dikeluarkan tidak lama selepas Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband, mengumumkan larangan import barangan dari penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki serta sekatan terhadap syarikat dan individu yang terlibat dalam usaha memperluas penempatan berkenaan.

Menurut KAN, diplomat Britain yang bertugas di konsulat itu akan kehilangan akreditasi selepas tempoh 30 hari tersebut sekiranya pejabat berkenaan tidak lagi beroperasi.

Pada Selasa, Miliband mengumumkan di Dewan Rakyat Britain, London akan melarang import barangan dari penempatan Israel yang menyalahi undang-undang di Tebing Barat yang diduduki.

Britain turut mengenakan sekatan terhadap syarikat dan individu yang membantu usaha memperluas penempatan, selain sekatan tambahan terhadap peneroka Israel ekstremis yang didakwa menyokong atau menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.

Miliband berkata, Britain juga akan menolak permohonan baharu lesen eksport senjata bagi barangan yang secara material menyumbang kepada pendudukan Israel, selain mengekalkan penggantungan 30 lesen sedia ada.

Beliau turut berkata, kerajaan Britain bersetuju bahawa berlaku “pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin” di Tebing Barat yang diduduki yang dilakukan oleh ‘pengganas peneroka’ Israel.

Pembangkang Israel berulang kali menuduh Netanyahu membawa negara itu ke arah pengasingan antarabangsa menerusi dasar kerajaan pimpinannya serta tindakan ketenteraan di Gaza.

Netanyahu sendiri mengakui kira-kira setahun lalu bahawa Israel sedang menuju satu bentuk pengasingan antarabangsa.

Sejak memegang jawatan pada akhir 2022, kerajaan Netanyahu meluluskan 104 penempatan baharu yang menyalahi undang-undang, manakala 160 pos pertanian didirikan di Tebing Barat yang diduduki, menurut angka Palestin.

Pada separuh pertama 2026, peneroka Israel melakukan 3,488 serangan di Tebing Barat yang diduduki, mengorbankan 17 rakyat Palestin serta menyebabkan 26 komuniti Badwi dan masyarakat penggembala dipindahkan sepenuhnya atau sebahagiannya, menurut Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin.

Suruhanjaya itu turut merekodkan pembinaan 42 pos baharu yang menyalahi undang-undang.

Menurut angka Palestin, kira-kira 750,000 peneroka Israel menetap di 194 penempatan haram dan 400 pos haram di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

The post Israel ‘balas’ tindakan Britain, arah tutup konsulat di Baitulmuqaddis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved