Buang Air Merata & Ceroboh Rumah, Bandar Di Jepun ‘Cancel’ Pesta Bunga Sakura Gara-gara Perangai Pelancong

TravelLifestyle
6 Feb 2026 • 4:12 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

image is not available

Bandar Fujiyoshida di Jepun secara rasmi telah membatalkan festival tahunan melihat bunga sakura ekoran tingkah laku buruk segelintir pelancong asing yang didakwa menceroboh harta benda peribadi serta mengabaikan kebersihan awam.

Menerusi kenyataan media pada 3 Februari lalu, pihak berkuasa tempatan menjelaskan bahawa tindakan drastik itu terpaksa diambil setelah kawasan tersebut mengalami kesesakan melampau yang menjejaskan kualiti hidup penduduk setempat secara serius. Lokasi festival tersebut yang menawarkan pemandangan ikonik Gunung Fuji sering menjadi tumpuan lebih 10,000 pelawat setiap hari ketika waktu puncak.

Gangguan privasi dan kebersihan antara insiden yang dilaporkan termasuklah tindakan pelancong menceroboh masuk ke dalam rumah penduduk tempatan semata-mata untuk menggunakan tandas. Lebih mengejutkan, terdapat laporan mengenai pelancong yang membuang air di kawasan halaman rumah penduduk sehingga mencetuskan ketegangan apabila ditegur.

“Kesesakan lalu lintas yang kronik, kemasukan tanpa izin ke dalam hartanah peribadi, dan isu pembuangan sampah termasuk puntung rokok telah banyak dilaporkan,” tulisnya.

Pihak bandar juga mengesahkan berlakunya gangguan ketenteraman awam dan risiko keselamatan terhadap pelajar sekolah yang terpaksa melalui kawasan sesak tersebut.

Datuk Bandar Fujiyoshida, Shigeru Horiuchi, menyatakan kebimbangan mendalam terhadap situasi ini dengan menegaskan bahawa ketenteraman warga kota kini terancam di sebalik keindahan landskap semula jadi yang ditawarkan. Beliau menyifatkan keadaan ini sebagai satu krisis yang perlu ditangani segera demi kepentingan komuniti setempat.

Walaupun festival yang bermula sejak 2016 itu dibatalkan, pihak berkuasa masih menjangkakan kehadiran pelawat yang ramai. Justeru, anggota keselamatan dan pegawai kawalan trafik akan dikerahkan ke lokasi bagi mengawal keadaan sepanjang musim bunga ini.

Sumber: Fujiyoshida PR, Dexerto

Sumber: Fujiyoshida.net

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.