SEREMBAN - Seorang lelaki diperintahkan menjalani perintah khidmat masyarakat (PKM) selama sejam dan denda RM100 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas kesalahan membuang sampah di tempat awam, lapan bulan lalu.
Hakim, Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Sultan Mohamed Hussain, 58, yang merupakan warga India selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membuang sisa pepejal iaitu air kotak minuman di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal itu.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11 pagi di hadapan sebuah rumah Taman Lavender Height di sini pada 5 Januari lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A(2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan PKM di bawah Subseksyen 77B(1) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM2,000 dan dikenakan PKM maksimum 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan, dengan tempoh tidak lebih empat jam sehari.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman denda dan PKM yang minimum kerana kini tidak bekerja selain mempunyai masalah kesihatan.
Pegawai Pendakwa SWCorp, Mohd Hanif Othman mencadangkan tertuduh menjalani PKM dalam tempoh yang sesuai bergantung kepada budi bicara mahkamah serta denda sebagai pengajaran.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani PKM selama satu jam dalam tempoh enam bulan dan denda RM100.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara selama tujuh hari.





