
SEREMBAN – Seorang lelaki warga India didenda RM100 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama satu jam di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuang sampah di tempat awam.
Orang Kena Saman (OKS), Sultan Mohamed Hussain, 58, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani perintah khidmat masyarakat selama satu jam dalam tempoh enam bulan dan sekiranya gagal membayar denda, boleh dipenjara tujuh hari.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membuang sisa pepejal iaitu air kotak minuman di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal itu kira-kira pukul 11 pagi di hadapan sebuah rumah di Jalan Lavender Height 42, Taman Lavender Height, di sini pada 5 Januari lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A(2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu PKM di bawah Subseksyen 77B(1) akta yang sama. – KOSMO! ONLINE
The post Sultan Mohamed Hussain buang sampah didenda RM100 appeared first on Kosmo Online.






