
Kota Kinabalu: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau membuat laporan polis terhadap pemilik sebuah akaun Facebook selepas individu terbabit didakwa menyamakan kes anaknya dengan cerita dalam filem Zootopia.
Noraidah Lamat, 46, berkata beliau tidak mengenali individu yang dikenali sebagai Dr Naim sebelum namanya tular di Facebook.
Katanya selepas menerima maklumat mengenainya, beliau cuba mencari akaun Facebook individu berkenaan yang dikenalinya sebagai Muhammad Naim.
“Saya langsung tidak mengenalinya secara peribadi tetapi orang lain memberitahu saya mengenai dirinya. Saya dimaklumkan bahawa dia seorang doktor dan bertugas di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Pada mulanya dia banyak membuat komen mengenai kes ini. Pada satu ketika saya sangat terkejut apabila dia menyamakan kes anak saya dengan cerita dalam Zootopia.
“Saya tidak tahu atau faham cerita itu. Disebabkan kenyataan yang keterlaluan itu, saya bersetuju dengan kakak ipar saya Nursyirah untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang,” katanya.
Ketika ditanya peguam Shahlan Jufri mengenai apa yang ditulis Dr Naim berkaitan Zootopia Noraidah berkata ia membabitkan kisah mengenai haiwan di sebuah zoo.
Menurut Noraidah berdasarkan pengetahuannya mengenai cerita Zootopia, ia berkisar mengenai seekor haiwan yang dibuli sebelum haiwan lain dituduh sebagaipelaku namun beliau mengakui tidak pasti mengenai butiran cerita itu kerana tidak pernah membacanya sendiri.
Noraidah berkata laporan polis itu dibuat kerana bimbang pengguna Facebook terbabit yang dianggapnya mempunyai pengaruh sedang membentuk dan menyebarkan naratif awam mengenai kes berkenaan.
“Saya bimbang tulisan sedemikian akan mencemarkan reputasi saya, mengganggu siasatan polis dan mendahului keputusan mahkamah.
“Pegawai polis sentiasa mengingatkan saya supaya tidak mendahului mahkamah,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui Dr Naim mempunyai pengaruh, Noraidah berkata beliau melihat tangkap layar hantaran Facebook individu berkenaan yang diberikan kepadanya oleh orang lain termasuk Izzan dan Nursyirah.
Katanya hantaran itu mendapat komen daripada individu yang dipercayainya merupakan ibu bapa kepada pelajar sekolah berkenaan.
Noraidah berkata sebahagian komen yang diterima adalah keterlaluan termasuk mempersoalkan sama ada beliau mengalami masalah mental serta membuat komen menghina dirinya sebagai ibu Zara.
Jelas Noraidah dia dan Nursyirah kemudian meneliti beberapa akaun yang membuat komen berkenaan termasuk akaun dikenali sebagai Inspirasi Di Hati, Labubu dan Aida, selain penulis novel Nurhayati Barahin dan Haryati Sufian.
Noraidah menyifatkan komen yang didakwa dibuat Nurhayati sebagai keterlaluan kerana penulis berkenaan tidak mengenalinya secara peribadi tetapi seolah-olah mempunyai maklumat mengenai diari Zara.
“Saya pasti ada orang dalam yang menyampaikan maklumat sulit itu,” katanya.






