Buaya 400 kg tumpas, seekor lagi masih bebas

LocalEnvironment
7 Oct 2026 • 5:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Buaya 400 kg tumpas, seekor lagi masih bebas

SIBU – Seekor buaya sepanjang 4.15 meter dengan berat lebih 400 kilogram berjaya ditangkap di Sungai Rajang berhampiran kawasan Stabau-Salim di sini pagi tadi, namun operasi memburu reptilia itu masih diteruskan susulan terdapat seekor lagi dipercayai bersaiz lebih besar di kawasan berkenaan.

Pemburu buaya berlesen Jeffery Siew berkata, reptilia itu ditangkap kira-kira 10 pagi oleh pasukannya yang dianggotai empat orang selepas usaha menjejakinya dilakukan sejak September lepas.

“Kami sudah memburu buaya ini sejak September dan akhirnya berjaya menangkapnya pagi tadi menggunakan mata kail berumpan. Bagaimanapun, operasi belum berakhir kerana kami masih menjejaki seekor lagi buaya yang dipercayai lebih besar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata tangkapan terbaharu itu dilakukan kurang 24 jam selepas pasukannya pulang daripada operasi selama beberapa hari di Sungai Batang Igan berhampiran Ulu Kampung Kebuaw, Igan.

“Kami memang keletihan selepas pulang dari Igan semalam, tetapi nasib baik operasi hari ini hanya di Sibu,” katanya.

Siew berkata pasukannya sebelum ini turut menangkap seekor buaya sepanjang 4.76 meter di kawasan Stabau-Salim pada 14 September lepas.

Sementara itu, tiga buaya berukuran antara 2.44 hingga 4.75 meter berjaya ditangkap pasukannya di Sungai Batang Igan dalam operasi bermula Sabtu lepas, termasuk seekor sepanjang 4.75 meter yang dianggarkan seberat 500 kilogram semalam.

Pasukan berkenaan turut menemukan sarang mengandungi kira-kira 40 biji telur buaya ketika menjalankan operasi di Igan.

Setakat ini, Siew yang memperoleh lesen memburu reptilia itu dua tahun lepas telah berjaya menangkap lebih 100 ekor buaya. – Bernama

The post Buaya 400 kg tumpas, seekor lagi masih bebas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved