Buaya di Jeti Bagan Datuk: Perhilitan pantau persekitaran, akan pasang papan tanda amaran

LocalEnvironment
23 Oct 2026 • 8:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Buaya di Jeti Bagan Datuk: Perhilitan pantau persekitaran, akan pasang papan tanda amaran
Penampakan seekor buaya bersaiz tiga meter berdekatan Kampung Pasang Api, Bagan Datuk. Foto tangkap layar video tular

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan kehadiran dua ekor buaya sekitar perairan Sungai Perak berhampiran Jeti Bagan Datuk pada 19 Oktober lepas.

Pengarahnya, Dr Pazil Abdul Patah berkata, aduan berhubung penampakan kelibat reptilia berkenaan diterima daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang kira-kira 6 petang.

"Susulan laporan tersebut, pihak Perhilitan telah melakukan siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian pada keesokannya (20 Oktober) bagi menilai situasi keselamatan di persekitaran kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Jumaat.

Pada 20 Oktober lepas, penampakan seekor buaya bersaiz tiga meter berdekatan Kampung Pasang Api, Bagan Datuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat dan pemancing dilokasi berkenaan.

Mengulas tindakan lanjut Perhilitan, Pazil berkata, pemantauan berterusan akan dilaksanakan di kawasan terbabit dari semasa ke semasa, selain memaklumkan tiada keperluan untuk menangkap atau memindahkan kedua-dua buaya tersebut ke lokasi lain.

Ini kerana, katanya Sungai Perak merupakan habitat semulajadi reptilia tersebut selain penampakan kelibat di sekitar perairan itu adalah perkara normal.

"Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan pihak Perhilitan akan mempertimbang untuk pemasangan papan tanda amaran kehadiran buaya di kawasan tersebut untuk peringatan kepada penduduk dan pengunjung," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk setempat serta komuniti pemancing agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan menjauhi kawasan tebing sungai serta tidak mengganggu atau memprovokasi sekiranya melihat kelibat reptilia terbabit.

"Selain itu, orang ramai yang melihat kehadiran reptilia terbabit diminta supaya segera memaklumkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved