
KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan rundingan dengan parti lain akan diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.
Menurutnya, Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan semua 21 kerusi DUN dimenangi ketika ini.
“Kita belum memulakan rundingan kerana saya sudah tegaskan bahawa sebarang rundingan dengan mana-mana parti politik hanya akan diadakan selepas pembubaran DUN.
“Kita tidak boleh berkompromi mengenai 21 kerusi ini dengan berkongsi kerusi dengan pihak lain. Kita akan bertanding di kerusi masing-masing.
“Bagi tujuh kerusi lagi, parti yang memenanginya perlu bertanding dan mempertahankan kerusi masing-masing. Kita akan mempertahankan kerusi yang kita menangi,” ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah dilakukan sejak dua tahun lalu dan kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk proses pembubaran dimulakan.
“Insya-Allah (pembubaran DUN akan berlaku). Tidak lama lagi. Apabila tiba masanya, saya akan umumkan tetapi waktunya tidak terlalu lama dan tidak terlalu singkat.
“Persiapan kita sudah dibuat sejak dua tahun lalu. Kita hanya menunggu masa yang sesuai, iaitu peringkat akhir untuk melengkapkan persiapan sebelum kita memulakan proses pembubaran DUN,” katanya.
Ab Rauf berkata, landskap politik negeri berkenaan berbeza berbanding negeri lain kerana kerajaan negeri dibentuk berasaskan formula BN Plus.
“Kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa rakan strategik terbaik untuk kerajaan negeri Melaka,” katanya.
The post Bubar DUN: Tidak terlalu lama, tidak terlalu singkat – Ab Rauf appeared first on Kosmo Online.





