Pengundi Melaka Tentukan Rakan Strategik Kerajaan Negeri Selepas PRN

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 9:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pengundi Melaka Tentukan Rakan Strategik Kerajaan Negeri Selepas PRN

KUALA LUMPUR - Pengundi Melaka akan menjadi penentu parti politik yang bakal menjadi rakan strategik kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, UMNO hanya akan mengadakan rundingan dengan parti lain selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.

“Melaka berbeza. Kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang mereka percaya sebagai rakan strategik terbaik untuk kerajaan negeri.

“Sebarang rundingan dengan parti politik yang berminat menyertai proses demokrasi di Melaka hanya akan diadakan selepas pembubaran DUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu program di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ab Rauf berkata, setiap parti politik bebas menentukan haluan serta strategi masing-masing menjelang PRN.

Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya ketika ini dan tidak akan berkompromi untuk menyerahkannya kepada parti lain.

“Kita akan pertahankan kerusi kita. Parti yang telah menang kerusi mempunyai bilangannya sendiri. Kita akan pertahankan kerusi yang telah kita menangi,” katanya.

Mengenai pembubaran DUN, Ab Rauf berkata tarikh berkenaan akan diumumkan pada masa yang sesuai dan tidak akan mengambil masa terlalu lama.

“Insya-Allah, tidak lama lagi. Apabila sampai masanya, saya akan umumkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha memperkukuh UMNO kekal menjadi keutamaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan parti berkenaan membina semula kedudukannya sebagai antara kuasa politik dominan di Malaysia. - Getaran, 11 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved