Budak 2 tahun hilang: 'Kali terakhir Muhammad Muiz dilihat sedang main air di tepi sungai'

9 Nov 2026 • 7:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Budak 2 tahun hilang: 'Kali terakhir Muhammad Muiz dilihat sedang main air di tepi sungai'
Seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Muiz Muhd Luqman, 2, dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Sungai Jahang.
Image from: Budak 2 tahun hilang: 'Kali terakhir Muhammad Muiz dilihat sedang main air di tepi sungai'
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan kekuatan dua pegawai dan 15 anggota polis serta tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng.
Image from: Budak 2 tahun hilang: 'Kali terakhir Muhammad Muiz dilihat sedang main air di tepi sungai'
Mangsa kali terakhir dilihat sedang bermain air di tepi sungai sebelum keluarganya menyedari kehilangan kanak-kanak itu.

GOPENG - Seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Muiz Muhd Luqman, 2,  dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Sungai Jahang di sini pada Isnin.

Mangsa yang datang berkelah bersama keluarga dari Batu Gajah itu disedari hilang kira-kira jam 11.30 pagi sebelum usaha mencarinya dilakukan di sekitar kawasan sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa kali terakhir dilihat sedang bermain air di tepi sungai sebelum keluarganya menyedari kehilangan kanak-kanak itu.

**media[3704838]**

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak 2 tahun dilaporkan hilang ketika riadah bersama keluarga

"Ahli keluarga telah melakukan pencarian di sekitar kawasan perkelahan, namun mangsa gagal ditemui.

"Mereka kemudian mengesyaki mangsa dihanyutkan arus sungai yang agak deras sebelum menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan polis dan bomba," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan kekuatan dua pegawai dan 15 anggota polis serta tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng.

Katanya, operasi itu turut dibantu 21 orang awam dengan menggunakan empat bot water rafting bagi memperluaskan kawasan pencarian.

**media[3704840]**

"Pasukan penyelamat melakukan pencarian melalui laluan sungai menggunakan bot, manakala anggota lain menjalankan pencarian di kawasan darat sekitar lokasi kejadian.

"Sehingga jam 6 petang, mangsa masih belum ditemukan. Operasi SAR diteruskan meskipun berdepan keadaan cuaca hujan," katanya,

Mohamad Nazri menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti riadah di kawasan sungai ketika musim tengkujuh berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Jelas beliau, hujan di kawasan hulu sungai boleh menyebabkan paras air meningkat secara mendadak atau berlaku fenomena kepala air tanpa disedari pengunjung.

"Paling penting ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak-anak terutama ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan sungai seperti ini bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved