Budak 5 Tahun Maut Dikelar, Bapa Saudara Direman 6 Hari

29 Aug 2026 • 6:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Budak 5 Tahun Maut Dikelar, Bapa Saudara Direman 6 Hari

SIBU - Seorang lelaki berusia 49 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak saudaranya yang berusia lima tahun.

Kanak-kanak malang tersebut  mengalami kecederaan parah di bahagian leher dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perintah reman selama enam hari terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Sibu pagi tadi.

Menurut beliau, suspek akan ditahan sehingga 4 September bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.45 petang semalam, selepas orang awam melaporkan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan serius di bahagian leher, dipercayai dilakukan bapa saudaranya sendiri.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas tiba di Unit Resusitasi,” katanya. 

Abang Zainal Abidin berkata, polis menahan bapa saudara mangsa dan merampas beberapa barangan dari lokasi kejadian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

“Saringan awal terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu sementara siasatan diteruskan.

Mengulas hukuman bagi kesalahan membunuh, Abang Zainal berkata, Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

“Sekiranya pesalah tidak dijatuhi hukuman mati, dia juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan dakwaan yang tidak disahkan di media sosial.

“Pasukan forensik dan pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian kanak-kanak berkenaan,” katanya. - Getaran, 29 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved