
KATHMANDU: Seorang kanak-kanak Nepal berusia lapan tahun yang melarikan diri ke hutan dan memanjat pokok ketika banjir dahsyat melanda akhirnya bertemu semula dengan ibunya semalam.
Zoyal Ghale diselamatkan dari daerah Rasuwa di utara Nepal sehari sebelumnya selepas mengalami patah kaki dan luka pada muka.
Dia diterbangkan keluar menggunakan helikopter secara bersendirian, manakala ibunya, Matti Maya Tamang, 28, berulang-alik dari beberapa pusat perlindungan dan lokasi pengumpulan bagi mencari Zoyal serta abangnya.
Tamang berkata, dia hampir menerima hakikat kedua-dua anaknya meninggal dunia selepas nama mereka tidak ditemukan dalam senarai mangsa di beberapa lokasi.
“Di tempat keempat pun, nama anak saya tiada dalam senarai dan mereka juga tidak berada di situ. Saya sudah mula menerima hakikat kedua-dua anak saya mungkin sudah tiada.
“Apa yang mampu saya lakukan hanyalah menangis. Saya langsung tidak mampu menenangkan diri,” katanya kepada Reuters.
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak terjejas akibat banjir di daerah Rasuwa, Nuwakot dan Dhading di utara Kathmandu.
UNICEF berkata, pihaknya bekerjasama dengan kerajaan Nepal bagi mengenal pasti dan mendaftarkan kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga serta membantu menyatukan mereka semula dengan keluarga masing-masing.
Tamang dan keluarganya antara yang bernasib baik dalam bencana itu. Sekurang-kurangnya 580 orang disahkan maut, manakala kira-kira 2,500 lagi masih hilang di Nepal dan Tibet, China.
Selepas beberapa kali gagal menemui anaknya, Tamang pada Khamis mendapatkan nombor telefon wartawan Reuters, Sahana Bajracharya, yang bertemu Ghale beberapa jam sebelumnya di sebuah hospital kecil di daerah Nuwakot yang berdekatan.
Bajracharya bersama pasukan Reuters pergi ke hospital itu selepas menerima maklumat mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang dibawa ke situ, namun pihak berkuasa tidak mengetahui keberadaan keluarganya.
Sebelum Ghale diterbangkan untuk menerima rawatan lanjut, Bajracharya berbual dengannya dan kanak-kanak itu bersetuju dirakam dengan harapan keluarganya dapat dikenal pasti dan ditemui.
Bajracharya meninggalkan nombor telefonnya di hospital sebelum Tamang menghubunginya beberapa jam kemudian.
“Apabila kamu memberitahu saya bahawa kamu tahu keberadaan Zoyal, saya rasa seperti tidak percaya. Saya sudah putus harapan untuk menemui mereka.
“Selepas saya menemui anak sulung saya, saya rasa seperti hidup saya kembali,” katanya.
The post Budak 8 tahun panjat pokok elak dihanyut banjir Nepal appeared first on Utusan Malaysia.





