Dua anggota polis cedera diserang penagih

24 Jun 2026 • 5:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua anggota polis cedera diserang penagih
Mohd Alwi Zainal Abidin

IPOH – Dua anggota polis cedera selepas diserang seorang lelaki dipercayai penagih dadah menggunakan pisau dalam satu pemeriksaan di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang sarjan berusia 44 tahun dan konstabel berusia 27 tahun dilaporkan cedera di beberapa anggota badan termasuk kepala, muka dan lengan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran seorang lelaki disyaki penagih dadah yang berada di sebuah pondok di tepi rumah tanpa nombor di kampung berkenaan.

Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama telah menjalankan pemantauan di lokasi sebelum bertindak membuat tangkapan terhadap suspek.

“Semasa proses tangkapan dijalankan, suspek telah bertindak agresif dengan menyerang pihak polis menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

“Akibat kejadian itu, dua anggota polis mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan di hospital. Kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat.

Katanya, Op Tutup turut dilaksanakan di laluan keluar masuk sekitar kawasan kejadian bagi mengesan pergerakan suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Mohd Alwi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Selama di talian 05-8395999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved