Tragedi Nepal: Operasi SAR Dihenti Akibat Cuaca Buruk, Mohon Bantuan Teknikal Pihak Luar 

29 Aug 2026 • 6:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tragedi Nepal: Operasi SAR Dihenti Akibat Cuaca Buruk, Mohon Bantuan Teknikal Pihak Luar 

KATHMANDU - Nepal menggantung sementara operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan keadaan cuaca yang semakin buruk, selain mendapatkan bantuan teknikal khusus dari luar negara bagi menangani kemusnahan akibat banjir besar dicetuskan runtuhan glasier di sempadan Tibet.

Menteri Kewangan Nepal, Swarnim Wagle, berkata negara Himalaya berpenduduk kira-kira 30 juta itu dijangka memerlukan antara AS$4 bilion (RM16.8 bilion) hingga AS$5 bilion (RM21 bilion) bagi membina semula infrastruktur yang musnah dalam bencana pada Rabu lalu.

Sekurang-kurangnya 626 orang disahkan terkorban di Nepal, manakala tujuh lagi maut di Tibet, China, selepas aliran deras batu, ais, lumpur dan serpihan akibat runtuhan glasier melanda sistem sungai di kawasan pergunungan.

Hampir 3,000 orang masih dilaporkan hilang, termasuk kira-kira 2,426 orang di Nepal dan sekurang-kurangnya 558 orang di Gyirong County, Tibet.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 540 merupakan warga asing, termasuk sebahagian besar jemaah Hindu dari India.

Pegawai Nepal berkata keutamaan ketika ini bukan lagi bantuan SAR secara umum, sebaliknya sokongan teknikal khusus untuk operasi yang amat sukar.

“Operasi mencari dan menyelamat dihentikan sementara kerana hujan dan keadaan cuaca berkabus,” kata pegawai kanan pentadbiran daerah Rasuwa, Narendra Pariyar, kepada Reuters.

Menurutnya, tumpuan kini diberikan kepada usaha mengatur pengangkutan darat bagi membawa jemaah yang berjaya diselamatkan ke Kathmandu.

Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal, berkata negaranya memerlukan bantuan antarabangsa dalam bidang yang kekurangan kepakaran dan keupayaan teknikal.

“Kami sudah membuat permintaan bagi perkhidmatan khusus dan bantuan teknikal dalam bidang yang kami tidak mempunyai kepakaran serta pengetahuan teknikal mencukupi,” katanya.

Bantuan yang diminta termasuk operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam terowong, membuka semula laluan pengangkutan dan komunikasi yang terputus akibat jambatan musnah, mengenal pasti mayat, menjalankan ujian DNA serta menyediakan kemudahan untuk menyimpan mayat bagi tempoh lebih lama.

Pihak berkuasa turut memantau dua tasik di kawasan hulu berhampiran zon bencana selepas sebuah tasik terbentuk merentasi sempadan Nepal-China dan mula melimpah ke Sungai Lhende Khola serta Sungai Trishuli.

Keadaan itu menyebabkan operasi menyelamat dihentikan sementara pada Jumaat, selain pihak berkuasa memberi amaran risiko banjir susulan kekal wujud sehingga kedua-dua tasik berkenaan surut sepenuhnya.

Agensi berita rasmi China, Xinhua, melaporkan salah sebuah tasik itu semakin mengecil, namun pakar geobencana kerajaan China memberi amaran keadaan tasik berkenaan masih tidak stabil.

Lebih 100 tasik glasier lain di kawasan lebih luas turut berpotensi mendatangkan ancaman, menurut pakar berkenaan.

India sebelum ini menyediakan bantuan dengan menghantar tiga penerbangan membawa kira-kira 60 tan bekalan kecemasan, termasuk selimut, ubat-ubatan, makanan dan tablet penulen air.

New Delhi turut merancang menghantar pasukan penyelamat terowong serta pasukan perubatan, selain menawarkan pasukan tindak balas bencana, jambatan pasang siap dan tenaga pakar teknikal bagi membantu memulihkan hubungan pengangkutan.

Beijing pula menyeru bantuan kecemasan disalurkan ke kawasan terjejas di Nepal serta menggesa kerjasama antarabangsa dalam usaha menyelamat, namun belum memperincikan bentuk bantuan yang akan diberikan kepada Nepal.

Wagle berkata anggaran awal kos pembinaan semula adalah antara AS$4 bilion dan AS$5 bilion, namun jumlah itu boleh berubah selepas pihak berkuasa selesai menilai keseluruhan kemusnahan.

“Ini hanya anggaran. Kehilangan dan kerosakan masih sedang dinilai,” katanya.

Di pihak China, pasukan penyelamat masih mencari lebih 500 individu yang dilaporkan hilang selepas bencana berkenaan.

Pasukan penyelamat pada Jumaat berjaya tiba di kompleks lintasan sempadan Gyirong yang paling teruk terjejas selepas meredah kawasan pergunungan dan lembah serta menggunakan tali untuk menyeberangi hutan dan tebing yang laluan jalannya musnah.

Rakaman kamera litar tertutup di lintasan itu menunjukkan arus deras bersama serpihan melanda bangunan, menyebabkan orang ramai melarikan diri ketika banjir melanda. - Getaran, 29 Ogos 2025

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved