BEAUFORT - Seorang kanak-kanak autistik hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Lumadan di sini pada Rabu.
Kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Vin Aaric Victor berusia tujuh tahun itu disedari hilang sekitar jam 4.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.53 petang daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 18 kilometer dari BBP Beaufort.
"Menurut maklumat, mangsa yang hilang merupakan kanak-kanak autistik dan disahkan hilang apabila tidak ditemui di kawasan rumah selepas ibu bapanya pulang dari pekan.
"Baju terakhir mangsa pakai berwarna hitam dan berseluar biru gelap. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan dan memandangkan lokasi rumah mangsa di sekitar kebun sawit, jadi kita melakukan pencarian di kawasan sekitar dahulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, buat masa ini belum ada petunjuk penemuan kanak-kanak tersebut.
"Liputan komunikasi di kawasan berkenaan juga agak terhad dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.





