KUDAT - Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai disambar buaya dalam kejadian di Sungai Sibumbung, Kampung Semayan, di Pulau Banggi, di sini pada malam Selasa.
Jasad Mohamad Hilmi Nurjahid, 9, ditemukan dalam keadaan sempurna oleh bapanya tidak jauh dari lokasi dia disambar reptilia tersebut.
Pegawai Pertahanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kudat, Kapten Abdullah Sabaruddin berkata, pihaknya menerima makluman daripada Balai Polis Karakit berhubung kejadian kanak-kanak dipercayai lemas selepas disambar buaya.
"Sebaik tiba, pihak APM dan polis bertemu dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat kejadian tersebut.
"Pada jam 8.10 malam, mangsa dijumpai dalam keadaan sempurna oleh bapa kandung tidak jauh dari lokasi dia disambar buaya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.






