Budak maut tertembak senapang buatan sendiri

13 Oct 2026 • 5:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Budak maut tertembak senapang buatan sendiri

KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terkena tembakan daripada senjata api buatan sendiri di sebuah pondok kebun getah keluarganya di Kampung Mampulut, Sook, pada Sabtu lalu (10 Okt).

Ketua Polis Daerah Keningau Supt Erwansyah Abdul Basir berkata, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa, Muhamad Sharil Hercluse, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Membulu, pergi ke kebun getah bersama sepupunya yang berusia 10 tahun untuk mencuka getah.

Beliau berkata, selepas berehat di pondok kebun berkenaan, mangsa dipercayai mengambil senjata api buatan sendiri yang disimpan berhampiran tilam sebelum mengendalikannya sehingga satu das tembakan dilepaskan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa oleh ahli keluarga ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 6.22 petang pada hari sama,” katanya.

Siasatan awal mendapati senjata api itu dipercayai milik bapa mangsa, seorang pekebun berusia 49 tahun yang mengaku menemui senjata tersebut di kawasan simpang Kampung Mampulut sekitar Ogos lalu sebelum menyimpannya di pondok kebun tanpa lesen sah.

Senjata itu dipercayai masih berisi peluru ketika kejadian.

Hasil bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth mendapati punca kematian mangsa ialah kecederaan tembakan di kepala, dengan 11 butir pelet ditemukan di bahagian otaknya.

Polis merampas senjata api buatan sendiri itu serta sehelai baju-T milik suspek bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian sehingga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan senjata api secara haram.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved