Lelaki Indonesia simpan peluru, senapang buatan sendiri dijel lapan bulan

8 Oct 2026 • 2:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki Indonesia simpan peluru, senapang buatan sendiri dijel lapan bulan

GUA MUSANG – Seorang buruh ladang sawit warga Indonesia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki peluru dan senapang buatan sendiri tanpa lesen pada bulan lalu.

Tertuduh, Ismail, 58, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 14 butir peluru 12 bore tanpa kebenaran yang sah di depan sebuah rumah di Kampung Jerek Baru, Gua Musang, kira-kira pukul 9 malam pada 9 September 2026.

Bagi pertuduhan kedua, Ismail dituduh memiliki selaras senapang tiruan di rumah sama kira-kira pukul 1.30 pagi pada 10 September 2026 dan didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdul Halim Omar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama manakala enam bulan untuk pertuduhan kedua dan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 9 September lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan anggota Balai Polis Bertam kira-kira pukul 9 malam pada 9 September lalu ketika menjalankan Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah.

Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah beg silang yang dipakainya menemukan sebuah kotak rokok berwarna merah mengandungi 14 butir peluru pelbagai jenis.

Kira-kira pukul 1.30 pagi keesokan harinya, tertuduh menunjukkan kepada pasukan polis saras senapang buatan sendiri yang diletak dan disembunyikan di belakang pintu rumah. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki Indonesia simpan peluru, senapang buatan sendiri dijel lapan bulan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved