GERIK - Seorang pemandu lori tidak dapat melupakan detik menyayat hati apabila melihat seorang kanak-kanak perempuan masih bergerak selepas terperangkap dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat, di sini pada Ahad.
Khairul Anuar Abdul Manaf, 42, berkata, kanak-kanak dianggarkan berusia kira-kira tiga hingga empat tahun itu masih bernyawa ketika orang ramai cuba mengeluarkannya dari dalam kenderaan yang remuk selepas melanggar lori dipandunya.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama pemandu kedua serta seorang lagi pekerja dalam perjalanan dari Kelantan menuju Kedah selepas menghantar muatan telur ketika kemalangan berlaku.
“Budak perempuan itu masih ada pergerakan ketika itu tetapi tidak menangis dan berada di bawah ibunya.
"Saya cuba nak bantu tapi selepas itu dia dah tak bernyawa,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, di sini pada Ahad.
Khairul Anuar berkata, pada masa sama seorang lagi kanak-kanak lelaki turut ditemui masih bernyawa manakala dua mangsa dewasa tidak lagi menunjukkan sebarang pergerakan.
Katanya, pada awalnya orang ramai menyangka hanya empat mangsa berada dalam kenderaan terbabit sebelum menyedari terdapat kanak-kanak kecil yang terperangkap di bahagian bawah.
“Kami ingat ada empat orang sahaja, tetapi tengok-tengok ada lima orang.
“Rupanya ada budak kecil di bawah. Kami dengar bunyi nafas sebelum orang ramai keluarkan,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak lelaki berkenaan mengalami kecederaan serius manakala kanak-kanak perempuan itu dipercayai cedera di bahagian muka.
Khairul Anuar berkata, kejadian itu merupakan kemalangan paling buruk pernah disaksikannya sepanjang 12 tahun menjadi pemandu lori.
“Saya trauma sebab kejadian itu berlaku depan mata. Tak pernah saya tengok kemalangan sampai ada yang meninggal macam ini.
“Cuma alhamdulillah kami semua tak cedera apa-apa cuma terkejut sangat," katanya.
Menceritakan detik sebelum pelanggaran, Khairul Anuar berkata, dia cuba mengelak Perodua Axia yang dilihat menghala ke arahnya selepas terlebih dahulu melanggar sebuah Proton Persona.
“Saya nak pergi sebelah kanan tak boleh sebab ada kereta tengah lalu. Kami nampak macam kereta itu nak pergi ke parit tetapi tiba-tiba ia datang menghala kepada kami.
“Saya dah tekan brek, cuma tak boleh buat apa,” katanya.
Khairul Anuar berkata, bunyi pelanggaran itu sangat kuat sehingga menyebabkan Perodua Axia tercampak ke hadapan sebelum menghentam lori dipandunya.
Terdahulu media melaporkan dalam kemalangan tengah hari itu, empat mangsa dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera selepas Perodua Axia terbabit kemalangan dengan Proton Persona dan lori di Jalan Raya Timur-Barat arah Kelantan ke Gerik.






