
TONGOD: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang wanita warga emas berusia 79 tahun dilaporkan lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir mengejut di Kampung Bangkulut Imbak Timbangan Evogold Sdn Bhd, Tongod, lewat malam Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 9.46 malam pada Khamis dan tiba di lokasi kejadian sejauh 169 kilometer kira-kira jam 3.01 pagi Jumaat.
“Sebaik tiba, didapati banjir berlaku dipercayai berpunca daripada kepala air yang datang secara mengejut dari hulu sungai lalu melimpahi kawasan kampung. Dua mangsa dilaporkan dihanyutkan ketika cuba menyeberangi laluan jalan yang ditenggelami air,” katanya.
Menurut beliau, mangsa pertama iaitu wanita warganegara Indonesia iru ditemui pada jarak lebih kurang 250 meter dari lokasi awal dia dihanyutkan. Sementara itu, mangsa kedua, kanak-kanak lelaki warganegara Malaysia, ditemui sekitar 200 meter dari lokasi penemuan mangsa pertama.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki tersebut terlepas daripada genggaman ibunya ketika cuba menyelamatkan diri sebelum dihanyutkan arus deras.Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada jam 3.25 pagi dengan radius pencarian 500 meter dan kedua-dua mangsa ditemukan sebelum jam 5 pagi.
Hairi berkata, operasi ditamatkan pada jam 5.04 pagi selepas keadaan air sungai surut dan tiada lagi ancaman bahaya dikesan.




