Budaya ‘berhenti sekejap’ susahkan orang lain

LocalCars
29 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Budaya ‘berhenti sekejap’ susahkan orang lain

Fenomena meletakkan kenderaan di tepi jalan semata-mata untuk membeli makanan, singgah ke kedai serbaneka atau mengeluarkan wang di bank semakin menjadi-jadi.

Apa yang lebih membimbangkan, perbuatan itu sudah dianggap normal sehingga ramai tidak lagi melihatnya sebagai satu kesalahan atau sikap tidak bertanggungjawab.

Alasan yang paling kerap diberikan ialah ‘berhenti sekejap sahaja’, namun hakikatnya menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Bermula dengan seorang, kemudian puluhan pemandu yang mempunyai pemikiran sama turut meletakkan kereta di tepi jalan sehingga akhirnya menjadi ‘huru-hara’.

Lebih menjengkelkan, ada pemandu yang sanggup memberhentikan kenderaan betul-betul di depan kedai atau gerai makanan walaupun kawasan parkir yang sah terletak tidak jauh dari premis.

Berjalan kaki beberapa puluh meter dianggap terlalu menyusahkan, tetapi menyusahkan ratusan pengguna jalan raya lain pula dianggap perkara biasa.

Sikap ini menggambarkan satu masalah yang lebih besar dalam masyarakat iaitu budaya mementingkan diri sendiri.

Keselesaan peribadi diletakkan mengatasi kepentingan awam. Asalkan dapat membeli nasi lemak, roti canai atau kopi dengan cepat, kesulitan yang ditanggung orang lain tidak lagi menjadi pertimbangan.

Akibatnya, aliran trafik yang sepatutnya lancar menjadi perlahan. Sebuah kenderaan yang berhenti di tepi jalan boleh memaksa kenderaan lain memperlahankan kelajuan, menukar lorong secara mengejut atau membentuk kesesakan yang berlarutan.

Apa yang lebih pelik, individu yang melakukan kesalahan ini sering menjadi orang pertama yang marah apabila berdepan kesesakan jalan raya di tempat lain.

Mereka mengkritik sikap pengguna jalan raya lain tanpa menyedari bahawa mereka sendiri menyumbang kepada masalah yang sama.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila peniaga mula menerima situasi ini sebagai norma. Kawasan hadapan premis bertukar menjadi lokasi parkir haram setiap hari. Akhirnya, peraturan jalan raya kalah kepada budaya ‘asal boleh’.

Masalah ini juga mencerminkan kelemahan dari sudut penguatkuasaan. Jika tindakan tegas diambil secara konsisten, pasti ramai akan berfikir dua kali sebelum memberhentikan kereta sesuka hati.

Masyarakat sering bercakap tentang keperluan menjadi negara maju, tetapi kemajuan bukan hanya diukur melalui bangunan tinggi atau teknologi canggih.

Sebaliknya, kemajuan sebenar bermula dengan disiplin dan rasa hormat terhadap hak dan keselamatan orang lain.

Selagi mentaliti ‘saya berhenti sekejap sahaja’ terus subur, selagi itulah masalah ini akan berulang dan menyusahkan orang lain.

The post Budaya ‘berhenti sekejap’ susahkan orang lain appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved