KUANTAN – Keputusan membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang ingin kembali memperkukuh perjuangan parti menggambarkan iltizam dan kesungguhan UMNO untuk bangkit, sekali gus merapatkan saf perjuangan serta mengembalikan keyakinan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu signifikan sebagai sokongan penuh terhadap gagasan Rumah Bangsa.
Menurutnya, melalui pendekatan inklusif dengan semangat penyatuan, UMNO meluluskan kemasukan semula beberapa bekas tokoh utama parti.
“Antaranya, kelulusan kemasukan semula Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Syed Hamid Albar bersama ribuan ahli lain di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui hantaran di Facebook pada Sabtu.
Wan Rosdy sebelum itu menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Melaka International Trade Centre pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, ia bukan sekadar keputusan organisasi, tetapi menjadi manifestasi bahawa UMNO kekal relevan, semakin inklusif serta sentiasa bersedia untuk terus memimpin dan berkhidmat kepada rakyat.
“Insya-ALLAH, UMNO akan terus teguh dalam perjuangannya demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Mesyuarat MKT UMNO di Melaka memutuskan untuk menerima kembali pemimpin tersebut untuk menyertai semula parti di bawah gagasan Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti turut bersetuju untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana 6,252 ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.


