Bukan calang-calang! Ayob Khan, Shuhaily diberi mandat terajui Jawatankuasa Integriti FAM

LocalFootball
30 Sep 2026 • 10:15 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay diberi kepercayaan menerajui Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025 hingga 2029.

Beliau akan dibantu Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025–2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Menurutnya, FAM memilih individu berpengalaman dan mempunyai kredibiliti termasuk dari luar barisan Exco untuk menerajui beberapa jawatankuasa penting dalam usaha memperkukuh pengurusan serta tadbir urus badan induk bola sepak negara.

“Bagi Jawatankuasa Integriti, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai pengerusi, manakala timbalannya ialah Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
“Kita mahu mereka yang mempunyai kredibiliti untuk mentadbir jawatankuasa berkenaan dan memastikan pengurusan serta tadbir urus FAM dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Image from: Bukan calang-calang! Ayob Khan, Shuhaily diberi mandat terajui Jawatankuasa Integriti FAM

Selain Jawatankuasa Integriti, FAM turut membawa masuk individu berpengalaman dari luar Exco bagi mengetuai Jawatankuasa Pengadil serta Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilantik mengetuai Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan dengan DCP Datuk Mohd Rozi Jidin sebagai timbalannya.

Dalam pada itu, Ab Ghani mengesahkan Datuk Noor Azman Rahman kekal sebagai Setiausaha Agung FAM, manakala Datuk Ismail Karim meneruskan tugas sebagai Bendahari.

Semua pengerusi jawatankuasa tetap diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk menamakan anggota masing-masing sebelum tugas di peringkat jawatankuasa dimulakan.

Sumber: BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved