
Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) menyatakan kebimbangan serius berhubung insiden di Pulau Timba Timba, baru-baru ini.
Namun, Menterinya Datuk Seri Christina Liew, menjelaskan bahawa Timba Timba tidak termasuk dalam kawasan yang berada di bawah pengurusan atau bidang kuasa penguatkuasaan Taman-Taman Sabah.
“Bagaimanapun, susulan insiden itu, kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan siasatan menyeluruh dijalankan.
“Kementerian difahamkan bahawa Pejabat Daerah dan Majlis Daerah setempat telah mengambil semua tindakan perlu bagi menghalang pihak tertentu daripada menjalankan urus niaga tidak sah di pulau itu,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
Menurut Liew, sebelum ini notis pengusiran telah dikeluarkan kepada penghuni haram di pulau itu oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Semua perniagaan di pulau ini mesti mematuhi segala syarat yang ditetapkan. Mereka yang tidak berlesen atau tidak memiliki sebarang lesen tidak boleh dibenarkan menjalankan perniagaan atau diberikan kuasa untuk mengutip sebarang bayaran,” tegasnya.
Menekankan bahawa tindakan drastik oleh semua pihak berkuasa berkaitan diperlukan bagi memastikan keselamatan pelancong di Sabah, Liew kesal kerana insiden seperti pergaduhan berlaku di destinasi pelancongan.
“Kami dimaklumkan bahawa polis telah menahan individu yang terlibat dalam pergaduhan itu. Diharapkan tidak akan ada lagi insiden sebegini selepas ini,” katanya.
Liew turut menasihati semua pengendali pelancongan agar mengutamakan langkah keselamatan dan mengelakkan membawa pelancong ke lokasi yang tidak selamat, sambil menambah, “Kami menyeru semua pihak agar bekerjasama untuk memberikan pengalaman pelancongan yang selamat di Sabah.”




