Kes anak Rafizi : KDN tegaskan siasatan dilaksana secara adil tanpa pengaruh mana-mana pihak

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 9:49 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius insiden serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, di sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menghubungi Rafizi sebaik sahaja mendapat tahu khabar berita tersebut selain menzahirkan rasa simpati dan prihatin terhadap anak bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Kes anak Rafizi

image is not available

“KDN memandang serius kejadian ini dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Perlu saya tegaskan juga bahawa semua siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak, selaras dengan tanggungjawab PDRM memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan, dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut undang-undang.

Terdahulu, Rafizi mendakwa anaknya telah diserang secara fizikal oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Selasa.

Kes anak Rafizi

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Katanya, kejadian itu berlaku sekitar jam 1.45 petang ketika anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi tersebut dan anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.

Hasil semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya sebelum insiden di mana kedua-duanya berpakaian serba hitam, bertopi keledar penuh yang menutup muka, dan dipercayai telah menunggu sebelum bertindak menyerang pada masa yang sesuai.