
PETALING JAYA – Saling berbalas kenyataan, pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas rakan sekumpulan, Shuib selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah dalam satu kenyataan menerusi Dol’s Podcast baru-baru ini.
Jep berkata, isu yang tercetus antara mereka bukan sekadar berkaitan sindiran seperti yang diperkatakan sebaliknyamelibatkan dakwaan fitnah yang disifatkan sebagai serius.
“Saya pun nak minta maaf sebab ketika kau keluarkan video ini dan telah pun mengambil tindakan undang-undang atas nasihat peguam.
“Kerana ini benar-benar fitnah jahat terhadap diri saya.
“Ini bukan fasal sindir, ini tentang fitnah,” katanya yang turut mengulang siar video Shuib hari ini.
Kenyataan tersebut menyusul selepas Shuib hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya dalam Dol’s Podcast yang mengundang kontroversi.
Menerusi video yang dimuat naik, Shuib berulang kali mengakui kekhilafannya selain memohon maaf kepada Jep dan semua pihak yang berasa tersinggung dengan tindakannya.
Shuib turut menganggap kecaman yang diterimanya sepanjang kontroversi berkenaan sebagai kifarah atas kesilapan sendiri, selain merayu agar orang ramai tidak mengheret isteri, anak-anak, keluarga dan perniagaannya ke dalam kemelut tersebut.
Malah, dia turut mengenang persahabatan hampir 20 tahun yang terjalin bersama Jep dan berharap segala permasalahan antara mereka dapat diselesaikan dengan baik.
Terdahulu, Jep mengakui sudah muak apabila isu persahabatannya dengan Shuib terus dibangkitkan dan dipersoalkan kepadanya sebelum ini.
Jep atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 41, turut menitipkan pesanan tegas kepada Shuib supaya tidak lagi mengganggunya selepas ini kerana mahu memberikan tumpuan kepada tanggungjawab membesarkan dua orang anaknya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Bukan fasal sindir, ini fitnah’ – Jep Sepahtu saman Shuib appeared first on Kosmo Online.


![“Bukan Pasal Sindir, Ini Fitnah” – Ini Respon Jep Selepas Shuib Buat Permohonan Maaf Secara Terbuka [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/jep-ambil-tindakan-undang-undang-ke-atas-shuib.jpg?t=1792050495)



