CADANGAN memperkenalkan jadual mencuci tandas dalam kalangan pelajar sekolah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini membuka satu perbincangan yang cukup besar dalam masyarakat.
Di sebalik reaksi yang pelbagai, langkah ini sebenarnya menyentuh satu isu asas yang sering dipandang ringan iaitu pembentukan karakter, disiplin dan rasa tanggungjawab dalam diri anak-anak sejak di bangku sekolah.
Arahan Perdana Menteri supaya semua sekolah melaksanakan jadual tersebut bukan sekadar berkisar soal kebersihan tandas semata-mata.
Sebaliknya, ia membawa mesej yang lebih mendalam tentang nilai kemanusiaan, kesederhanaan dan penghargaan terhadap golongan pekerja kebersihan.
Dalam ucapannya pada Himpunan Anak Pahang Madani 2026 di pekarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan, Pahang, beliau menegaskan bahawa tiada istilah ‘anak orang kaya’ atau ‘orang biasa’ apabila melibatkan tanggungjawab menjaga kebersihan. Semua pelajar harus dididik untuk melakukan perkara asas ini.
Pengalaman peribadi beliau ketika menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar turut dijadikan contoh, di mana jadual mencuci tandas telah lama diamalkan.
Amalan tersebut bukan sahaja membentuk disiplin, malah menanam rasa hormat terhadap pekerja kebersihan serta memupuk sikap berdikari dalam kalangan pelajar.
Jika diteliti, pendekatan ini bukan sesuatu yang asing di peringkat global. Negara seperti Jepun telah lama mengamalkan budaya pelajar membersihkan persekitaran sekolah termasuk tandas.
Walaupun dikenali sebagai negara maju dengan teknologi tinggi, sistem pendidikan mereka tetap menekankan aspek pembentukan sahsiah.
Dalam konteks Malaysia, cadangan ini dilihat sebagai satu usaha mengimbangi pencapaian akademik dengan pembangunan nilai insaniah.
Selama ini, sistem pendidikan sering dikritik kerana terlalu menumpukan kepada keputusan peperiksaan sehingga mengabaikan pembentukan karakter.
Justeru, pelaksanaan jadual mencuci tandas boleh menjadi salah satu langkah praktikal dalam melahirkan generasi yang lebih seimbang.
Namun, cadangan ini tidak terlepas daripada pelbagai reaksi ibu bapa.
Ada yang menyambut baik usaha tersebut dengan alasan ia mampu mendidik anak-anak menjadi lebih bertanggungjawab dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.
Bagi mereka, kemahiran asas seperti menjaga kebersihan diri dan persekitaran adalah perkara penting yang perlu diterapkan sejak kecil.
Namun, terdapat juga ibu bapa yang meluahkan kebimbangan, terutamanya dari aspek kebersihan dan keselamatan.
Mereka mempersoalkan sama ada pelajar dilengkapi dengan peralatan yang sesuai serta pengawasan mencukupi.
Selain itu, ada yang beranggapan tugas tersebut sepatutnya kekal sebagai tanggungjawab pekerja kebersihan bagi memastikan standard kebersihan sentiasa terjamin.
Kebimbangan ini wajar diberi perhatian. Pelaksanaan dasar ini memerlukan garis panduan jelas agar tidak menimbulkan isu lain.
Tanpa perancangan yang teliti, niat murni ini mungkin sukar mencapai matlamat.
Dalam masa sama, pendekatan ini juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pendidikan nilai, bukan hukuman.
Jika dilaksanakan dengan cara yang betul, ia boleh menjadi pengalaman pembelajaran bermakna.
Pelajar bukan sahaja belajar tentang kebersihan, tetapi juga tentang tanggungjawab, kerjasama dan rasa hormat terhadap orang lain.
Kesimpulannya, cadangan memperkenalkan jadual mencuci tandas dalam kalangan pelajar merupakan satu langkah berani yang membawa potensi besar dalam membentuk generasi masa depan.
*Roshlawaty Raieh ialah wartawan Sinar Bestari


