Bila tiba bulan Ogos, Jalur Gemilang mula berkibaran dan lagu-lagu patriotik kembali kedengaran. Tetapi selepas 69 tahun negara mengecapi kemerdekaan, pernah tak kita terfikir apa sebenarnya makna Merdeka kepada generasi hari ini?
Merdeka bukan sekadar mengenang tarikh 31 Ogos atau menunggu detik tepat jam 12 malam untuk melaungkan “Merdeka!”. Di sebalik keamanan yang kita nikmati hari ini, ada sejarah panjang tentang perjuangan, pengorbanan dan perpaduan generasi terdahulu yang membawa Malaysia ke tahap sekarang.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, kisah tersebut bakal dibawa ke tengah-tengah Dataran Merdeka menerusi Konsert Kita Bagi Jadi @ Ambang Merdeka 2026, sebuah persembahan muzikal berskala besar yang menjadi acara kemuncak Festival Ambang Merdeka 2026: Malaysia MADANI – Kesejahteraan Dinikmati, anjuran bersama CIMB Bank Berhad (CIMB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bukan Sekadar Konsert, Tapi Perjalanan Menyusuri Sejarah Malaysia

Bakal berlangsung pada 30 Ogos 2026, dari jam 10.30 malam hingga 12 tengah malam, Konsert Kita Bagi Jadi @ Ambang Merdeka tampil berbeza daripada persembahan ambang Merdeka yang biasa kita saksikan.
Di bawah arahan pengarah persembahan terkenal, Pat Ibrahim, produksi selama 90 minit ini dibawakan dengan tema “Menyusuri Sejarah, Memperkasa Semangat”.
Bayangkan gabungan persembahan orkestra secara langsung, muzik kontemporari, tarian, lakonan, penceritaan, persembahan kebudayaan dan visual multimedia disatukan menjadi sebuah persembahan teater muzikal yang unik.
Bukan artis naik pentas, nyanyi lagu dan selesai. Sebaliknya, setiap lagu, kostum, koreografi dan visual memainkan peranan dalam membawa penonton mengikuti perjalanan Malaysia menerusi lima babak berbeza.
Dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka Hingga Cabaran Rakyat Malaysia Hari Ini
Perjalanan bermula dengan Our History, membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan Kesultanan Melaka yang pernah menjadi antara pusat perdagangan terpenting di Asia Tenggara dan membawa ke zaman kejatuhan empayar itu ke tangan Portugis sekitar tahun 1511.
Menariknya, beberapa artis akan muncul sebagai figura bersejarah dan legenda. Aman RA membawakan watak Parameswara, Aina Abdul sebagai Puteri Saadong, Mimifly sebagai Ratu Merah, Asmidar sebagai Mahsuri, Haziq Rosebi sebagai Hang Tuah dan Izen Kong sebagai Laksamana Cheng Ho.
Daripada sejarah, penceritaan kemudian bergerak kepada rakyat Malaysia hari ini menerusi chapter Hail to Our Young Heroes.
Segmen ini memberikan penghargaan kepada mereka yang mungkin tidak tercatat dalam buku sejarah tetapi memainkan peranan penting dalam menggerakkan negara setiap hari termasuk petugas barisan hadapan, pekerja kesihatan, pendidik, pekerja ekonomi gig, sukarelawan, pemimpin NGO, juara komuniti dan atlet negara.
Malah, Datuk Azizulhasni Awang akan turut membuat penampilan khas untuk memimpin ikrar Rukun Negara.
Pupuk Kesedaran Tentang Cabaran Masyarakat Masa Kini
Apa yang menarik, produksi ini tidak hanya melihat patriotisme melalui kisah masa lalu.
Babak seterusnya membawa penonton berdepan dengan “musuh” yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat moden seperti online scam, jenayah siber, buli, keselamatan digital dan penyebaran maklumat palsu.
Mesej ini disampaikan melalui pendekatan yang sinonim dengan budaya tempatan termasuk persembahan dikir barat serta kemunculan Tuan Abam Cedric dan Bob, yang turut menceriakan produksi melalui segmen “Sembang Kucing” bersama Aman RA.
Mimifly pula akan mempersembahkan salah sebuah lagu original berjudul #HmmmDulu yang dicipta khas untuk konsert ini, membawa mesej online scam.
Nama-Nama Yang Membentuk Malaysia Turut Diberi Penghormatan
Babak seterusnya, Malaysian Past Heroes, mengajak penonton mengenang tokoh yang telah meninggalkan sumbangan besar kepada pembentukan Malaysia hari ini.
Antaranya ialah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Tun Tan Cheng Lock, Tun V. T. Sambanthan, Pendeta Za’ba dan Sybil Kathigasu.
Penceritaan ini turut menampilkan siri animasi Kisah Bawah Tanah sebelum diteruskan dengan persembahan muzik, tarian serta elemen kepelbagaian budaya Malaysia.
Akhirnya, perjalanan tersebut sampai ke babak Moving Malaysia Forward.
Daripada melihat sejauh mana Malaysia sudah melangkah, penonton diajak pula memandang ke hadapan tentang harapan, perpaduan dan tanggungjawab kita untuk terus membawa negara maju ke hadapan.
Ia juga selari dengan janji jenama CIMB menerusi “Moving You Forward”, apabila kemajuan bukan hanya dilihat melalui perjalanan individu, tetapi bagaimana masyarakat dan negara boleh terus bergerak menuju masa depan.
Istana Melaka ‘Dihidupkan’ Semula Dalam Bentuk 3D
Satu lagi perkara yang rasanya memang kena tengok depan mata ialah visual pentasnya.
Penonton bakal dibawa kembali melihat gambaran Melaka pada zaman kegemilangannya menerusi rekaan 3D Kota Melaka dan istana Melayu, hasil karya artis visual 3D tempatan, Faizal Rahmat.
Dalam menghasilkan visual berkenaan, Faizal menggunakan rujukan daripada manuskrip sejarah termasuk Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah untuk membina semula seni bina warisan Melayu melalui teknologi visualisasi 3D.
Lebih bermakna, Faizal merupakan seorang artis neurodivergen yang diberi ruang untuk mengetengahkan bakatnya dalam produksi berskala nasional ini.
Usaha ini bukan sahaja menjadikan penceritaan sejarah lebih imersif, malah membantu mendokumentasikan warisan seni bina negara dalam bentuk digital untuk tatapan generasi akan datang.
Aina Abdul, Mimifly, Aman RA Bakal Gegarkan Dataran Merdeka

Dari segi line-up pula, memang meriah. Nama-nama besar seperti Aina Abdul, Mimifly, Aman RA, Asmidar, Haziq Rosebi, Izen Kong, Pasya dan Nadia Aqilah pasti membuatkan malam menjelang ambang merdeka anda jadi lebih bermakna.
Mereka ialah sebahagian daripada 350 peserta pementasan termasuk pemuzik Orkestra Kuala Lumpur,penari profesional dan pendikir barat, selain tiga buah lagu original baharu serta susunan semula lagu-lagu klasik Malaysia yang cukup dekat dengan kita.
Di sebalik apa yang penonton lihat di atas pentas, produksi ini turut melibatkan ratusan tenaga kreatif tempatan termasuk pemuzik, penari, koreografer, pereka, juruteknik, kru produksi dan artis visual.
Jadi secara tidak langsung, Konsert Kita Bagi Jadi @ Ambang Merdeka 2026 turut menjadi pentas untuk meraikan bakat dan industri kreatif tempatan.
Jom Raikan Ambang Merdeka Bersama
Selepas selesai lima babak perjalanan Malaysia, persembahan akan menuju ke detik yang paling dinantikan iaitu countdown Hari Kebangsaan tepat jam 12 tengah malam, disusuli pertunjukan bunga api di Dataran Merdeka.
Kalau selama ini sambutan Merdeka bagi korang sekadar tengok countdown dari skrin telefon, mungkin tahun ini boleh rasai sendiri suasananya bersama ribuan rakyat Malaysia.
Festival Ambang Merdeka 2026: Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati
Tarikh: 29 hingga 31 Ogos 2026
Lokasi: Dataran Merdeka (Konsert Kita Bagi Jadi @ Ambang Merdeka berlangsung 30 Ogos, 10.30 malam sehingga 12 tengah malam)
Inilah masanya nak bawa keluarga dan keluar bersama rakan-rakan untuk menikmati persembahan muzik dan visual yang dibawakan khas untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Maklumat terkini mengenai festival dan aktiviti CIMB, jangan lupa ikuti Facebook dan Instagram rasmi CIMB Malaysia.
The post Bukan Konsert Merdeka Biasa, Dataran Merdeka Bakal ‘Hidupkan’ Semula Sejarah Malaysia Dalam Persembahan 90 Minit appeared first on Oh! Media.





