
TAMPIN – Sambutan Bulan Kebangsaan bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik, malah membawa rezeki buat pengusaha kek apabila permintaan terhadap kek bertemakan Jalur Gemilang meningkat sepanjang Ogos.
Bagi Siti Nur A’shikin Sadikun, 43, kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan memberi peluang kepadanya menjana pendapatan menerusi tempahan kek dan produk bakeri diusahakan sejak 11 tahun lalu.
Menurut bekas cef hotel itu, tempahan mula meningkat sebaik memasuki Ogos apabila pelanggan termasuk secara online dari sekolah, tadika dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mula membuat persiapan program sambutan kemerdekaan.
“Setiap kali masuk bulan Ogos, pelanggan sudah mula bertanya dan membuat tempahan. Tahun ini, saya menerima kira-kira 200 tempahan.
“Biasanya saya hasilkan kek bertemakan Merdeka menggunakan warna Jalur Gemilang. Jadi, kali ini saya sediakan dua kek bersaiz kecil dengan dua bendera serta empat warna krim untuk hiasan kek pada harga bermula RM9.90,” katanya di premis perniagaannya di Balai Informasi Pertanian Gemencheh, di sini semalam.
Siti Nur A’shikin berkata, tempahan bertemakan Merdeka sudah menjadi rutin sejak tiga tahun lalu dan antara produk mendapat permintaan ialah buttercream, kek DIY, kek cawan serta pelbagai jenis tart dan kuih.
“Macam kulit tart sekurang-kurangnya 50 balang terjual dalam sebulan. Saya juga ada produk unik tart nanas arang yang kini mendapat tempahan menggalakkan,” katanya.
Katanya, tempahan bukan sahaja memberi pendapatan tambahan, malah membolehkannya berkongsi kemahiran apabila menerima jemputan mengajar dan menjadi juri pertandingan berkaitan bakeri.
The post Rezeki berganda pembuat kek bertema Merdeka appeared first on Kosmo Digital.






