DI SEBALIK populariti sebagai anak seni, penyanyi Ezad Lazim mengakui perjalanan untuk menjadi tetamu ALLAH menuntut kesabaran, usaha dan kesungguhan seperti jemaah lain.
Menurut Ezad, beliau dan isteri melalui proses sama seperti rakyat Malaysia lain, bermula dengan disiplin menabung sehinggalah mendaftar di Lembaga Tabung Haji, menunggu giliran serta membuat rayuan bagi menunaikan ibadah haji.
Katanya, kesedaran untuk menyimpan di Tabung Haji sebenarnya bermula sejak di bangku sekolah rendah menerusi kempen menabung yang digerakkan guru-guru.
Namun, kesedaran untuk mendaftar haji secara lebih serius hadir selepas beliau mendirikan rumah tangga.
“Isteri saya yang banyak memberi kesedaran. Selepas kami berkahwin dan mempunyai anak, dia menegaskan supaya anak-anak dibuka akaun Tabung Haji.
“Malah, dia juga yang mendisiplinkan saya untuk terus mendaftar haji bersama anak-anak sekali,” katanya.
Menurutnya, isterinya telah terlebih dahulu mendaftar haji sebelum mereka berkahwin dan rezeki itu akhirnya membuka jalan buat beliau turut menjadi tetamu ALLAH.
Ezad berkata, perjalanan ke Tanah Suci memerlukan kesungguhan dan bukan sekadar menunggu giliran semata-mata.
Katanya, beliau sendiri mengambil inisiatif mengikuti kursus haji walaupun belum terpilih pada awalnya sebagai tanda persediaan dan tanggungjawab sebagai umat Islam.
“Tak senang juga sebenarnya. Kita ikut prosedur yang sama, bertanya kepada mereka yang berpengalaman dan mengikuti kursus haji yang disediakan.
“Kita perlu tunjukkan kesungguhan, bukan setakat simpan dan duduk diam kemudian buat rayuan,” ujarnya.
Beliau turut mengakui gemar membaca perkongsian daripada pelbagai golongan termasuk anak muda dan individu bukan selebriti yang berjaya menunaikan haji kerana ia menjadi motivasi buat dirinya.
Mengulas mengenai detik permulaan panggilan ke Baitullah, Ezad percaya ia hadir hasil doa yang tidak pernah putus, terutama ketika beliau dan isteri menunaikan umrah sebelum ini.
“Masa tunai umrah dulu, isteri saya tak habis-habis pesan supaya berdoa di depan Kaabah agar kami dapat mengerjakan haji.
“Alhamdulillah, saya rasa itulah berkat doa tersebut,” katanya.
Bagi Ezad, doa merupakan ‘senjata’ paling kuat buat umat Islam jika dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tanpa berputus asa.
Beliau mengakui gagal menahan air mata ketika pertama kali menatap Kaabah sambil memohon keampunan daripada ALLAH SWT.
“Bila kali pertama menatap Kaabah dan memohon keampunan, itu detik yang paling tidak boleh dilupakan.
“Air mata memang terjurai-jurai mengingatkan dosa-dosa kita sebagai manusia,” katanya.
Sepanjang berada di Tanah Suci, Ezad turut mengambil peluang berdoa agar perjalanan kerjaya seninya terus diberkati dan mampu memberi impak positif kepada masyarakat..
“Allah pinjamkan suara dan kudrat ini untuk saya menjadi penyanyi. Jadi saya mahu seimbangkan dengan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.
“Selepas ini, saya lebih minat ke arah lirik yang positif dan bermesejkan kebaikan,” ujarnya.
Walaupun terpaksa meninggalkan anak-anak yang masih kecil di bawah jagaan keluarga, Ezad berkata, beliau menyerahkan sepenuh tawakal kepada ALLAH SWT.
“Mula-mula memang risau, tetapi kita datang ke sini sebagai tetamu ALLAH, jadi kita serahkan segalanya kepada-Nya untuk menjaga urusan di sana,” katanya.





