JIKA Ezad Lazim menegaskan tiada jalan pintas untuk menjadi tetamu Allah, isterinya yang juga pengurus kerjaya, Zeana Ramli pula mengambil keputusan menangguhkan segala perancangan konsert demi memberi laluan kepada ibadah haji.
Menurut Zeana, sebagai pengurus kepada Ezad, beliau bertanggungjawab mengurus jadual seni termasuk tawaran persembahan.
Namun sebaik menerima pengesahan peluang ke Tanah Suci, beliau membuat keputusan untuk tidak menerima sebarang tawaran konsert atau persembahan.
“Saya cakap dengan penganjur, saya tak nak. Kalau dapat haji, saya tak nak buat konsert,” katanya.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi fokus sepenuhnya kepada ibadah tanpa gangguan komitmen kerjaya seni.
Zeana berkata, beliau tidak putus berdoa agar dipermudahkan urusan menjadi tetamu Allah.
“Kita kena fokus, konsisten dalam amal ibadat. Kalau kita tak minta dekat ALLAH, macam mana ALLAH nak bagi?
“Jangan sesekali berputus asa atau rasa iri hati apabila melihat orang lain dapat jemputan lebih awal,” katanya.
Menurutnya, beliau dan Ezad memilih untuk menunggu giliran haji melalui saluran rasmi Lembaga Tabung Haji sejak 2013 meskipun pernah menerima tawaran jalan singkat untuk menunaikan ibadah itu.
“Rezeki itu ada, tapi saya mahu melalui prosedur yang ditetapkan oleh Tabung Haji,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengikuti perkembangan dan perkongsian jemaah haji menerusi media sosial rasmi Tabung Haji serta kumpulan Facebook sebagai persediaan ilmu dan mental sebelum ke Tanah Suci.


