SEREMBAN - Tohmahan mengatakan Pas sentiasa menganggu gugat parti lain adalah satu mitos yang tidak releven sama sekali.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mengikut sejarah Pas, parti itu yang lebih banyak dipelawa untuk bekerjasama oleh parti-parti lain.
"Kalau kita lihat sejarah penglibatan Pas dalam politik, pada akhir tahun 70-an, Pas telah dipelawa oleh UMNO di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein untuk bersama kerana keadaan perpaduan negara terancam.
"Bukan pas yang minta, tapi dijemput...walaupun akhirnya kita ditendang keluar," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di sini pada Sabtu.
Menurutnya, UMNO juga sekali lagi mempelawa Pas untuk bergabung apabila berlakunya perpecahan dalam parti mereka, malah ia telah berlaku beberapa kali.
Tambahnya, Pas turut dicari oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) yang ditubuhkan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada UMNO oleh Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2015
"Bukan Pas cari orang, tapi orang yang mencari Pas. Sehinggalah sekarang, berlaku perpecahan di dalam parti rakan kita Bersatu, apabila Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat walaupun beliau seorang Ahli Parlimen.
"Pecat bukan sikit-sikit...sekali pecat, 17 orang. Itu kita tak ganggu tugas mereka, tapi kita perlu jangka apa yang berlaku itu akan berlaku sekali lagi kepada parti mereka," katanya.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, Pas terbuka untuk menerima kumpulan Reset yang diterajui Hamzah apabila beliau menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama.
Jelasnya, keterbukaan Pas menerima pelbagai pihak adalah selaras dengan prinsip parti yang sentiasa mengutamakan penyatuan ummah tanpa mengira kaum.
"Sekarang ini Reset mempunyai 19 orang ahli Parlimen. Tidak akan kita nak biarkan mereka? Mereka buat Konvensyen di Tanah Merah, Kelantan menjemput Presiden.
"Maka keterbukaan hati Pas untuk menerima mereka ini. Itulah Pas, bukannya kita ganggu rumah tangga orang...tidak ada, walaupun akhirnya kita dipisahkan," ujarnya.
**media[3550609]**
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kemasukan seramai 15 individu termasuk bekas menteri dan bekas Exco kerajaan Negeri Sembilan ke dalam Pas.
Antaranya bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim dan ayah kepada pelakon popular, Anzalna iaitu Profesor Dr Md Nasir Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.
Selain itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek.
Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Datuk Nik Amar Nik Abdullah dan ahli jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.




