'Status Bersatu dalam PN, ditentukan dalam mesyuarat akan datang' - Ahmad Samsuri

LocalPolitics
13 Jun 2026 • 6:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Status Bersatu dalam PN, ditentukan dalam mesyuarat akan datang' - Ahmad Samsuri
Abdul Hadi (tiga dari kanan) bersama Hamzah (kiri) dan Ahmad Samsuri (dua dari kanan) pada Konvensyen Reset Malaysia yang diadakan di Tapak Ekspo, Taman Harmoni, Tanah Merah pada Sabtu.

TANAH MERAH – Status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan dalam mesyuarat akan datang, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Sama ada Bersatu disingkirkan atau kekal dalam PN, perkara itu akan ditentukan dalam mesyuarat akan datang,” katanya pada sidang akhbar sempena Konvensyen Reset Malaysia yang diadakan di Tapak Ekspo, Taman Harmoni di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Gerakan Reset Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Terdahulu, Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam PN, iaitu Bersatu.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan bagi membincangkan hala tuju parti dalam mendepani fasa politik baharu.

Abdul Hadi berkata, ketetapan memutuskan hubungan tersebut dibuat selepas parti itu meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.