'Bukan pelik jika Bersatu mahu berkerjasama dengan PH'

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Bukan pelik jika Bersatu mahu berkerjasama dengan PH'
Zukri (gambar kecil) berkata, kepimpinan PH bagaimanapun harus banyak belajar dalam apa juga bentuk kerjasama sekali pun.

KUANTAN - Bukan perkara pelik kalau benar Parti Bersatu mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Zukri Aksah berpandangan, kerjasama antara parti politik yang berbeza satu-satunya pilihan yang ada buat masa ini bila mana demokrasi tidak lagi mampu memberi hak majoriti kepada satu pihak untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, kepimpinan PH bagaimanapun harus banyak belajar dalam apa juga bentuk kerjasama sekali pun.

"Kita pernah bekerjasama dengan Bersatu semasa era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memimpinnya dan semua tahu kesudahan kerjasama itu.

"Kita juga bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini malah semua juga tahu masalah dengan kerjasama sekarang," katanya kepada Sinar Harian.

Zukri berkata, sekiranya lebih banyak perkara tentang hala tuju dan prinsip pentadbiran yang boleh persetujui secara bersama dengan Bersatu berbanding UMNO, maka tiada sebab PH dan Bersatu tidak boleh bekerjasama.

"Kerana modelnya pelbagai, maka kita boleh membuat perbandingan.

"Namun, kerjasama dengan UMNO pula yang sudah berlaku dalam Kerajaan Perpaduan hari ini tidaklah semuanya buruk," ujarnya.

Beliau berkata, Kerajaan Pahang antara model Kerajaan Perpaduan paling berjaya kerana tidak pernah ada krisis sesama pimpinan rentas parti setakat ini.

"Kerajaan Pahang setakat ini membantu memacu ekonomi negeri ke landasan yang betul cuma masalahnya di peringkat pusat tidak begitu," jelasnya.

Pada masa sama beliau mengingatkan pimpinan parti supaya berhati-hati dalam sebarang rundingan kerjasama.

"Sekarang bukan lagi masanya untuk kita terlalu tunduk dalam apa jua rundingan.

"Kadang-kadang kita risau ketegasan akan memusnahkan padahal dalam banyak hal sikap itu membina penghormatan dan kekuatan," tegasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved