SEJURUS keluar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang membawa kekalahan besar kepada Pakatan Harapan (PH), pemimpin mereka memberi alasan faktor kekalahan besar PH berpunca daripada naratif politik agama, identiti dan perkauman yang dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berjaya menenggelamkan prestasi kerajaan Negeri Sembilan yang dipimpin oleh PH dahulu.
Tidak dinafikan impak ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor yang diputarbelitkan secara tidak bertanggungjawab, daripada ucapan asalnya berbunyi "orang Cina ada China, orang India ada India, orang Siam ada Thailand" kepada versi menyeleweng "orang Cina balik Cina, orang India balik India" telah menimbulkan pelbagai reaksi dan intepretasi.
Natijahnya, asas integrasi nasional dan pembinaan negara bangsa perlu dinilai dan diukur semula, adakah identiti negara Malaysia mesti dipertegaskan dengan berteraskan agama Islam dan kaum Melayu mengikut definisi Perlembagaan iaitu Perkara 3, Perkara 153, Perkara 160(2) dan Perkara 89(6), ataupun Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan menurut ideologi sekular seperti yang diperjuangkan oleh DAP? (sila rujuk perlembagaan parti tersebut).
Persoalan ini bermakna, pertembungan antara parti-parti politik di Malaysia, adakah ia berlaku semata-mata atas dasar perkauman dan identiti, ataupun atas dasar pertembungan ideologi dan nilai?
Sekiranya dilihat secara jujur terhadap isu-isu sosial yang berlaku kebelakangan ini, ia lebih menunjukkan krisis nilai yang membangkitkan kesedaran politik sehingga memecahkan bangsa Malaysia kepada dua kumpulan yang berpegang dengan nilai yang bertentangan, berbanding krisis perkauman.
Sebagai contoh, mutakhir ini dalam isu kematian anjing bernama Rocky, reaksi rakyat terpecah kepada dua kumpulan, sama ada yang menyokong pihak penguatkuasa dan mangsa serangan anjing liar atau mereka yang mendakwa sebagai pencinta haiwan yang mahu membiarkan haiwan liar berkeliaran walaupun membahayakan keselamatan orang awam.
Jika dilihat, isu ini tiada kaitan dengan kaum kerana semua kaum ada dalam kumpulan A ataupun kumpulan B.
Titik yang membezakan pendirian mereka ialah pegangan nilai.
Isu kedua, berkenaan arak. Orang Islam rata-ratanya membantah minuman arak tanpa kawalan dan menyokong undang-undang arak diperketatkan bagi membendung kes kemalangan dan kematian melibatkan pemandu mabuk.
Namun isu ini tidak mendapat perhatian kebanyakan orang bukan Islam kerana arak menyentuh sensitiviti dan hak kebebasan mereka.
Malah, kes kematian yang melibatkan pemandu mabuk tidak dianggap begitu serius kerana statistik kematian yang disebabkan oleh pemandu mabuk hanya bawah 1 peratus sahaja, berdasarkan statistik yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan.
Jadi, yang membezakan pendirian antara kedua-dua kumpulan ini ialah pegangan nilai yang ditentukan oleh ajaran agama meskipun tidak dinafikan ada orang bukan Islam yang turut membantah penjualan arak secara terbuka.
Isu ketiga, berkenaan isu rumah ibadat yang dibina tanpa keizinan tuan tanah atau yang diistilahkan sebagai binaan haram.
Isu ini menjadi sensitiviti penganut agama Hindu kerana kebanyakan kes seperti ini melibatkan kuil mereka yang dibina tanpa mengikut prosedur pihak berkuasa, sama ada baru dibina ataupun sudah ratusan tahun dibina.
Isu ini sebenarnya isu penguatkuasaan undang-undang yang tidak membenarkan pencerobohan tanah milik orang lain dan ia bukan isu diskriminasi terhadap agama.
Maksudnya, adakah wajib mempertahankan rumah ibadat yang dibina atas tapak milik orang lain, atau tanah kerajaan, ataupun perlu tunduk kepada penguatkuasaan undang-undang?
Hatta masjid dan surau sekalipun sekiranya berlaku masalah pada tapak, maka pihak berkuasa terpaksa merobohkannya dan orang Islam tiada pilihan lain melainkan terpaksa akur dengan penguatkuasaan undang-undang.
Dalam isu kuil pula, ada orang Hindu sendiri yang tidak bersetuju dengan pembinaan kuil yang tidak patuh undang-undang, bina atas tapak milik orang lain tanpa kebenaran kemudian melakukan kekecohan apabila tuan tanah mahu mengambil tindakan.
Maka tidak wajar isu ini dibingkaikan dalam bingkai perkauman kerana ia berpunca daripada pertembungan nilai berbanding agama dan kaum.
Berapa ramai orang Hindu yang bersama dengan orang bukan Hindu dalam membantah kewujudan kuil atas tanah milik orang lain, Cikgu Chandra sebagai contoh.
Isu ketiga, berkenaan dengan aliran pendidikan bukan kebangsaan, maksudnya aliran sekolah yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Pendidikan merupakan faktor yang memupuk integrasi kaum di Malaysia yang mengamalkan konsep akomodasi iaitu setiap kaum mengekalkan identiti kaum masing-masing dalam keadaan saling menghormati adat budaya kaum lain.
Bahasa merupakan pengantar kepada pendidikan yang berfungsi menjadi alat perpaduan kaum, menghubungkan komunikasi antara manusia.
Sekiranya bahasa dan sistem pendidikan Kebangsaan sudah tidak lagi dianggap bernilai, malah diabaikan dan diimport pula bahasa dan sistem pendidikan luar, jangan tanya mengapa perpaduan kaum masih menjadi isu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Isu dualisme pendidikan bukan isu kaum. Berapa ramai kaum bukan Melayu yang lebih fasih pertuturan bahasa Melayu berbanding kaum Melayu sendiri. Tidak perlulah disenaraikan nama mereka.
Di samping isu dualisme sistem pendidikan mengikut kaum di Malaysia, dalam kalangan orang Islam pula menghadapi isu dualisme sistem pendidikan, antara aliran tradisional seperti pondok dan madrasah, aliran moden kebangsaan dan aliran Inggeris.
Isu keempat, isu berkenaan sejarah Malaysia. Persekutuan Malaysia terbentuk pada 16 September 1963, hasil cetusan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Sebelum wujudnya Malaysia, Semenanjung Tanah Melayu yang mendapat kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957.
Timbul isu persempadanan geografi Tanah Melayu, adakah ia terbatas kepada negeri-negeri semenanjung sahaja atau ia lebih luas merangkumi Segenting Kra di Selatan Thailand dan kepulauan Riau-Lingga yang kini berada bawah Indonesia?
Mungkin generasi sekarang sudah lupa dengan gagasan Melayu Raya ataupun gagasan itu sudah tidak lagi relevan kerana Tanah Melayu sudah tinggal nostalgia sejarah.
Melayu Patani sudah menjadi rakyat minoriti di Thailand, Melayu Champa sudah jadi rakyat minoriti di Kemboja dan Vietnam, Melayu Burma atau Pashu sudah menjadi rakyat minoriti di Myanmar, Melayu Riau sudah menjadi etnik rakyat Indonesia, Melayu di Filipina atau bangsa Moro sudah jadi pelarian, Melayu Cape jadi kaum pendatang di Afrika, Melayu Jawi di Tanah Arab sudah lebur identiti.
Melayu di Malaysia pula sudah tidak boleh mengaku Malaysia sebagai Tanah Melayu nanti dicop rasis sebab Malaysia ada kaum-kaum lain selain kaum Melayu.
Jadi adakah tanah air Melayu yang tersisa hanyalah Brunei Darussalam sahaja?
Mujurlah Brunei tidak masuk ke Persekutuan Malaysia, dapatlah rakyat Brunei mempertahankan jati diri Melayu yang berdaulat, bertanah air tanpa digugat oleh anasir lain.
Membangkitkan perkara ini bukanlah bermakna mahu menghalau kaum bukan Melayu pulang ke negara asal kaum mereka secara implisit.
Tetapi inilah hakikat sejarah yang perlu disedari dan diterima oleh mereka yang mahu menjadi rakyat Malaysia.
Tidak menjadi kesalahan dari sudut fakta sejarah dan Perlembagaan apabila perkara ini dibangkitkan dan diperingatkan oleh mana-mana pihak.
Kalau hakikat ini diterima baik oleh semua kaum, terutamanya kaum bukan Melayu, maka atas sebab apa Mendiang Profesor Khoo Kay Kim, Profesor Teo Kok Seong, Dr. Ridhuan Tee, Firdaus Wong, Zamri Vinoth dan lain-lain menerima kecaman hebat daripada kaum mereka sendiri?
Adakah disebabkan rasisme atau berpunca dari krisis nilai?
Saya tertarik dengan ulasan Prof Wong Chin Huat di Astro Awani berkenaan PRN Negeri Sembilan 2026.
Apabila dibangkitkan dakwaan bahawa kekalahan PH disebabkan oleh naratif politik identiti, beliau yang bukan beragama Islam, memberi pandangannya dengan berkata:
"Dalam perkara ini, kita kena kembali kepada Islam dengan merujuk Surah Al-Hujurat ayat 13:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ
[Surah Al-Ḥujurāt: 13]
Maksudnya:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya KAMI telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan KAMI telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-NYA (akan keadaan dan amalan kamu).
Maka atas sebab itulah, kita memperjuangkan politik prinsip dan nilai yang ditentukan mengikut piawaian Islam yang bersifat absolut dan menolak politik sekular dan pragmatik yang menjadikan prinsip dan nilai bersifat relatif.
*Muhammad Rif'aat Razman ialah mahasiswa yang sedang menyiapkan tesis doktor falsafah (PhD) yang mengkaji pelaksanaan dasar keislaman Kerajaan Malaysia oleh JAKIM di Universiti Utara Malaysia






