Dakwaan pelajar universiti dari Malaysia seludup dadah tidak benar, suspek warga Indonesia

13 Oct 2026 • 8:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dakwaan pelajar universiti dari Malaysia seludup dadah tidak benar, suspek warga Indonesia

PETALING JAYA: Laporan media sosial yang mendakwa seorang pelajar universiti rakyat Malaysia ditahan kerana menyeludup empat kilogram (kg) dadah jenis syabu di Indonesia adalah tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan penularan maklumat berhubung penahanan seorang lelaki berstatus pelajar yang kononnya merupakan rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia di Terminal Feri Teluk Nibung, Tanjung Balai, Indonesia.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan pada 10 Oktober lalu itu sebenarnya merupakan warganegara Indonesia.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan oleh Tanjung Balai, Sumatera Utara, Indonesia, sebaik tiba di Terminal Feri Teluk Nibung dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Pemeriksaan terhadap beg pakaian lelaki tersebut menemukan lapan bungkusan plastik yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat keseluruhan empat kilogram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan dipercayai diserahkan oleh seorang lagi lelaki warga Indonesia di kawasan Lembah Klang untuk dibawa masuk ke Indonesia melalui Terminal Feri Tanjung Balai.

Sehubungan itu, Hussein berkata, JSJN menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan penyebaran berita tidak tepat dan kekeliruan masyarakat.

“JSJN turut akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam mendapatkan maklumat risikan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah serta membanteras rangkaian sindiket pengedaran dadah di Malaysia yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menyalurkannya kepada JSJN menerusi talian hotline 012-208 7222,”katanya.- UTUSAN

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved