Lelaki Filipina sewa jet dari Subang dikenal pasti

13 Oct 2026 • 8:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki Filipina sewa jet dari Subang dikenal pasti

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti seorang lelaki warga Filipina berusia 54 tahun yang dipercayai menyewa pesawat berkaitan kes tangkapan dan rampasan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos, 1 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai bekas juruterbang yang mempunyai rekod kesalahan dadah di Filipina.

Katanya, perkara itu terbongkar selepas JSJN merakam percakapan beberapa saksi termasuk seorang warga Malaysia yang bertindak sebagai broker bagi menguruskan penyewaan pesawat terbabit.

“Individu tersebut mendedahkan pesawat berkenaan telah disewa oleh seorang lelaki warga Filipina berusia 54 tahun yang dikenal pasti sebagai seorang bekas juruterbang dan mempunyai rekod kesalahan dadah di negara tersebut.

“Siasatan turut mendapati seorang wanita warga Filipina berusia 51 tahun dikenal pasti terlibat dan dipercayai bertindak sebagai koordinator dalam sindiket ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hussein, siasatan susulan terhadap kes berkenaan turut membawa kepada pengenalpastian sindiket serta beberapa individu di Malaysia yang dipercayai mempunyai kaitan dengannya.

Beliau berkata, siasatan dikendalikan Unit Siasatan Khas JSJN Bukit Aman mengikut Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 39B akta sama.

Katanya, siasatan membabitkan kesalahan melakukan persubahatan atau perbuatan persediaan di Malaysia bagi tujuan pengedaran dadah di luar negara.

“Pada masa sama, JSJN bekerjasama dengan Wisma Putra dan Philippine Drug Enforcement Agency (PDEA) bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membantu pasukan siasatan dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Polis Laos merampas 521kg dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.

Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper melaporkan, operasi keselamatan dijalankan pada 1 Oktober lalu susulan maklumat diterima polis wilayah pada 21 September mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.

Menurut laporan itu, polis kemudian menerima maklumat mengenai perubahan jadual penerbangan dan pesawat peribadi berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada jam 1.30 tengah hari, 1 Oktober lalu.

Pada 9 Oktober lalu, Hussein dilaporkan berkata tempahan jet tersebut dibuat oleh seorang warga Filipina pada 23 September dengan bayaran AS$49,500, manakala kargo yang hendak dibawa diisytiharkan sebagai produk vape. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki Filipina sewa jet dari Subang dikenal pasti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved