
KUALA LUMPUR – Di sebalik dakwaan kononnya Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjadi mangsa pecat kerana memperjuangkan penyatuan Melayu, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad tampil mendedahkan sisi gelap politik dalaman Bersatu.
Beliau membongkar muslihat terancang bekas Setiausaha Agung itu yang didakwa menggunakan taktik 'jaja nama' PAS, Umno, dan Istana Negara semata-mata untuk menyingkirkan Muhyiddin demi merebut jawatan nombor satu parti dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di atas dulang emas.
"Saya tak suka putar belit. Saya straight forward saja… Beliau dipecat bukan kerana ingin mencari titik penyatuan Melayu, tetapi kerana menjadi penyebab perpecahan," katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Menurut Marzuki, Hamzah yang sebelum ini memenangi jawatan Timbalan Presiden tanpa bertanding atas ihsan dan endorsement Muhyiddin, telah berpaling tadah sebaik sahaja kedudukannya disahkan.
Menyedari sokongan akar umbi terhadap Muhyiddin terlalu kuat untuk dilawan secara terbuka dalam pemilihan parti, Hamzah didakwa memilih 'jalan belakang' dengan mempengaruhi 120 Ketua Bahagian (KB) Bersatu melalui gerakan mengumpul tandatangan bagi mendesak Muhyiddin berundur.
"Saya boleh baca akal Hamzah. Menjadi Timbalan Presiden tanpa bertanding, kemudian desak Tan Sri Muhyiddin supaya berundur. Setelah Tan Sri Muhyiddin berundur, dia menjadi Pemangku Presiden Bersatu dan dengan sokongan PAS dan parti-parti lain dalam PN, dia dilantik sebagai Pengerusi PN. Tanpa susah payah bertanding, dia mendapat jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN di atas dulang perak."
Bagi menghidupkan naratif desakan tersebut, Marzuki mendedahkan dua 'modal' utama yang digunakan Hamzah untuk memperdaya Ketua-Ketua Bahagian yang ghairah untuk kembali menjadi kerajaan. Modal pertama adalah dakwaan kononnya Hamzah mendapat restu daripada Presiden PAS untuk menjatuhkan Muhyiddin, bersandarkan foto pertemuan di pejabatnya di Bukit Tunku.
Bagaimanapun, Marzuki menegaskan perkara ini telah dinafikan keras oleh pimpinan kanan PAS sendiri.
Modal kedua pula melibatkan dakwaan kononnya Hamzah sedang mengusahakan kerjasama Bersatu-PAS-Umno, namun mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan syarat supaya Muhyiddin 'dibuang' terlebih dahulu.
Semakan Marzuki dengan beberapa pemimpin kanan Umno mendapati perkara itu adalah rekaan semata-mata kerana Umno sendiri tidak mempercayai Hamzah, sekaligus menjelaskan mengapa siri gerakan 'tebuk atap' dari Dubai hingga Bangkok menemui kegagalan.
"Hamzah menggunakan PAS, Umno dan Istana sebagai modal untuk pecah-belahkan parti. Tujuannya satu sahaja. Supaya jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional diserahkan kepadanya di atas dulang emas."
Mengulas mengenai kegagalan siri gerakan menjatuhkan kerajaan sedia ada sebelum ini, Marzuki menegaskan amaran yang pernah disuarakannya dahulu kini menjadi kenyataan apabila strategi 'tebuk atap' tersebut akhirnya memakan diri parti sendiri.
"Sebab itulah saya pernah tulis PN berhenti buat kerja tebuk atap kerana ia akan menyebabkan perpecahan. Saya sudah tahu permainan di belakang. Tebuk atap tak jadi, tapi parti yang pecah."
Pendedahan berani Marzuki ini dijangka bakal menghangatkan lagi suhu politik Bersatu, ketika parti serpihan Umno itu kini sedang bergelut untuk menstruktur semula dinamika kepimpinan mereka pasca-pemecatan Hamzah. - 28 Mei, 2026
The post Bukan satukan Melayu tapi pecah-belahkan parti, Marzuki ‘telanjangkan’ agenda politik Hamzah appeared first on Scoop.






