KUALA LUMPUR – Pembelaan kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di sini selepas gagal dalam permohonannya untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah ke Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, rayuan itu difailkan pada Rabu lalu selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin menolak permohonan Shamsul Iskandar, 51, pada 28 April.
Ditanya sama ada pihak pembelaan akan memohon penangguhan perbicaraan, beliau berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan.
“Buat masa ini, kami mengikut prosiding sedia ada dan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes,” katanya kepada Hakim, Suzana Hussin.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan berkata, beberapa dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Katanya, masih terdapat dokumen lain yang belum diberi kepada pembelaan dan ia akan dilampirkan dalam masa terdekat.
Selepas mendengar permohonan berkenaan, mahkamah menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pada 28 April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pemindahan kes, selepas mendapati Shamsul Iskandar tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Pada 4 Disember 2025, dia didakwa atas dua pertuduhan, sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, bersetuju untuk menerima suapan sebanyak RM100,000 dan memperoleh RM40,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.
Bagi dua lagi pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya selama dua penggal bermula 2013 itu didakwa menerima kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249.
Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat Jiann Cheing, mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, sedangkan perbuatan itu tiada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Disember 2025, dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik individu lain, bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur daripada Tei.
Suapan itu sebagai dorongan bagi membantu syarikat yang mempunyai kepentingan kepada Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.






