Himpunan Daulat Tuanku: ‘Itu Hak Semua Pihak Yang Mahu Pertahankan Raja Melayu’

LocalPolitics
12 May 2026 • 8:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Himpunan Daulat Tuanku: ‘Itu Hak Semua Pihak Yang Mahu Pertahankan Raja Melayu’

KUALA LUMPUR - Himpunan Daulat Tuanku anjuran Pemuda PAS Selangor dijadual berlangsung Sabtu ini perlu dilihat dalam konteks hak semua pihak yang mahu mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, acara itu tidak seharusnya dijadikan medan untuk mencetuskan perpecahan politik.

Menurut beliau, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya membawa kepada kompromi semangat kesetiaan ke atas Raja-Raja Melayu dan negara, seperti termaktub dalam Rukun Negara.

“Institusi diraja merupakan payung penyatuan rakyat yang perlu dihormati tanpa mengira fahaman politik.

“Kita boleh berbeza parti dan ideologi politik, namun dalam soal menjunjung raja dan mempertahankan keharmonian negeri, semua pihak perlu berdiri atas prinsip yang sama,” katanya.

Jelas Saifuddin, perbezaan ideologi politik tidak bermakna rakyat perlu menggadaikan kesetiaan kepada Raja dan negara.

Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini katanya, sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan, selagi ia dilaksanakan secara aman, tertib serta mematuhi undang-undang.

“Sehubungan itu, saya melalui Pejabat Menteri Besar Selangor akan menyediakan 1,000 pek makanan dan minuman kepada peserta himpunan berkenaan, sebagai tanda sokongan terhadap budaya demokrasi yang matang dan aman.

“Dalam suasana politik semasa yang semakin mencabar, rakyat perlu menolak budaya provokasi, penghinaan dan kenyataan melampau yang boleh menjejaskan keharmonian negeri serta menggugat kestabilan masyarakat majmuk di Selangor,” katanya.

Beliau menarik perhatian, ‘Menjunjung Raja’ bukan sekadar slogan politik atau retorik bermusim, tetapi perlu diterjemahkan melalui penghormatan terhadap Perlembagaan, undang-undang serta usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan negeri.

“Institusi Raja-Raja Melayu perlu terus menjadi simbol penyatuan rakyat dan tidak wajar dipolitikkan secara keterlaluan, sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

“Selangor selama ini dikenali sebagai negeri yang meraikan kematangan demokrasi dan perbezaan pandangan secara terbuka tanpa menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama, serta akan sentiasa mendengar suara hati rakyat,” katanya. - Getaran, 12 Mei 2026