'Bukan sekadar bantu baiki motor, itulah dakwah dengan akhlak' - Menteri Agama

LocalPolitics
19 Apr 2026 • 5:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Bukan sekadar bantu baiki motor, itulah dakwah dengan akhlak' - Menteri Agama
Tangkap layar hantaran dimuat naik Zulkifli mengenai kisah Abang Minyak Hitam Jalanan dan Dicky.

SHAH ALAM - Tindakan Abang Minyak Hitam Jalanan membantu seorang pemuda Cina yang berada dalam kesusahan bukan sekadar mencerminkan nilai kemanusiaan, malah disifatkan sebagai bentuk dakwah paling dekat dengan hati masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, bahawa pertolongan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama itu memperlihatkan keindahan Islam yang diterjemahkan melalui akhlak, ihsan serta kasih sayang sesama insan.

Menurut beliau, kisah ringkas membabitkan pemuda dikenali sebagai Dicky Yau itu membuktikan bahawa dakwah bukan terletak pada kata-kata atau ceramah semata-mata, sebaliknya turut terserlah menerusi perbuatan baik yang memberi kesan mendalam terhadap kehidupan orang lain.

“Apa yang Abang Minyak Hitam Jalanan buat itu bukan sekadar tolong baiki motosikal, tetapi itulah dakwah. Dakwah dengan akhlak dan ihsan.

"Islam itu bukan hanya kata-kata, tetapi cara kita menyantuni manusia. Inilah Malaysia yang kita mahu, masyarakat bertamadun yang saling bantu-membantu tanpa mengira siapa.

"Semoga kebaikan kecil ini jadi asbab rahmat yang lebih besar. Budi yang baik, insya-Allah tidak pernah hilang nilainya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Menurut Zulkifli, Dicky yang merupakan bapa tunggal asal Tawau, Sabah dan bekerja di sebuah restoran halal di pusat beli-belah di ibu kota sebelum ini dibantu ketika melalui fasa sukar dalam hidup.

Katanya, selepas memperoleh sedikit rezeki hasil penstriman langsung di TikTok, pemuda tersebut kembali mencari Abang Minyak Hitam Jalanan bukan hanya berhasrat membalas jasa, malah berniat mahu orang lain turut merasai bantuan yang sama.

“Momen beliau bersalam sambil mencium tangan, itu bukan sekadar adab, itu akhlak. Tinggi nilainya.

“Hakikatnya, susah tidak mengenal bangsa. Ramai yang memerlukan bantuan, cuma kita tidak nampak.

"Tetapi apabila ada yang menghulurkan pertolongan tanpa berkira, di situlah indahnya kemanusiaan,” ujar menteri itu lagi.

Sebelum ini, menerusi perkongsian ‘Minyak Hitam Jalanan Original’, pemilik akaun Facebook itu pada awalnya menerima panggilan daripada Dicky sekitar jam 12.30 tengah malam yang meminta bantuan membaiki motosikal.

Katanya, kos pembaikan alat ganti berserta upah bernilai RM145.

Sebaik kerja pembaikan selesai, dia mendapati lelaki tersebut hanya mempunyai wang yang cukup untuk kegunaannya sendiri.

Tersentuh dengan situasi itu, mekanik berkenaan mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang caj dan menggunakan wang infak bagi menampung kos pembaikan tersebut.

Kisah itu tular di media sosial dan hantaran di Facebook setakat ini memperoleh 8.5 juta tontonan, 475,800 tanda suka serta 4.5 juta perkongsian.